Tourism Australia Mobile Image

9 Destinasi Percutian Yang Tersembunyi Di Malaysia Untuk Anda Lawati Bersama-Sama BFF

Setiap kali saya melihat rakan-rakan merancang percutian di Malaysia, saya menjadi cukup teruja! Tidak kiralah sama ada untuk percutian ‘day trip’, hujung minggu atau cuti awam, Malaysia memang memiliki banyak destinasi yang indah dan sesuai untuk pelbagai jenis percutian.

Bukan itu sahaja, terdapat juga tempat-tempat tersembunyi atau ‘hidden gem’ di Malaysia yang membolehkan anda bercuti dengan pengalaman yang unik dan baharu. Kebanyakannya masih tidak diketahui ramai, jadi anda dapat mengelak daripada berada di tengah-tengah keramaian pelancong! Ditambah pula dengan kehadiran BFF anda, percutian anda pasti akan menjadi cukup istimewa!

Sebelum ia mulai sesak, apa kata anda lawatinya bersama-sama rakan-rakan anda?

1. Pulau buatan manusia ekslusif Marina Island

Image credit: Rockbund Fishing Chalet Official Facebook

Terletak berdekatan Teluk Muroh di Perak, Marina Island yang berkeluasan sebesar 316.9 ekar ini merupakan sebuah pulau buatan manusia yang eksklusif dan premier. Sesuai bagi anda yang inginkan percutian tepi laut, pulau ini sering dijadikan sebagai tempat persinggahan oleh pelancong sebelum menuju ke Pulau Pangkor yang terletak bertentangannya. 

Salah satu tempat tumpuan di sini ialah ‘Frenzy Waterpark’ yang menawarkan aktiviti halangan atas air ala ‘Wipeout’. Ya, ia satu-satunya taman tema di Malaysia yang menggunakan teknologi pelampung dari Wibit Sports yang amat terkenal!

Image credit: Frenzy Waterpark Main Page Official Facebook

Selain itu, terdapat juga aktiviti-aktiviti menarik di Marina Island seperti memancing, berlayar dengan pakej ‘Luxury Sailing Cruise’, berkayak, berbasikal dan berlatih yoga. Setelah anda puas berseronok, anda boleh memilih untuk menginap di beberapa tempat penginapan yang cantik di sini seperti Rockbund Fishing Chalet dan Homestay Tiara Bay.

2. Hotel Cheong Fatt Tze – The Blue Mansion

Image credit: Cheong Fatt Tze – The Blue Mansion Official Facebook

Saya akui, bandaraya Georgetown di Pulau Pinang ialah tempat yang sudah tidak asing lagi buat pelancong tempatan dan juga pelancong luar negara. Nasi Kandar Deen Maju, Sup Hameed dan Ali Nasi Lemak, semua ini pasti anda telah cuba! Tetapi, pernahkan anda menginap di rumah tradisional Cina di sini?

Rumah agam Cheong Fatt Tze – The Blue Mansion dibina oleh seorang peniaga berbangsa Cina iaitu Cheong Fatt Tze pada lewat tahun 1800. Konsep Feng Shui seperti mempunyai ruang terbuka di dalam rumah memainkan peranan yang amat penting, begitu juga dengan gabungan seni bina budaya lain seperti English Art Nouveau.

Image credit: Speare Morgan Series Official Facebook

Keunikan reka bentuk serta sejarah bangunan ini amat diminati ramai sehinggakan terdapat servis ‘daily tour’ bagi pelawat yang ingin menerokai rumah agam ini. Tetapi, pengalamannya pastilah tidak sama dengan menginap di hotel yang amat ‘insta-worthy’ ini! Jadi, jangan lupa untuk ke sini sekiranya anda di Georgetown! 😉

3. Pulau Rawa umpama pantai di Maldives

Image credit: Mohd Fazlin Mohd Effendy Ooi

Terletak 30 minit dari Jeti Mersing, Pulau Rawa yang mampu dibandingkan dengan Maldives kerana kecantikannya yang tidak terkata semakin menarik perhatian pelancong yang ingin menerokai tempat tersembunyi di Malaysia. Gelongsor air berwarna jingga yang ikonik di sini turut disukai ramai kerana ia meluncurkan pelancong terus ke dalam air pantai! 

Image credit: Pakej Pulau Rawa Official Facebook

Setelah berseronok menggelosor, bermandi-manda dan bersantai, anda turut boleh mendaki ke atas bukit untuk melihat matahari terbenam pada waktu senja. Bukan itu sahaja, kanu juga boleh disewa untuk menerokai gua-gua yang tersembunyi di sini seperti Indiana Jones! 🤠🤠

4. Resorts World Genting, Pahang

Image credit: Tourism Malaysia Official Instagram

Genting Highlands bukannya ‘hidden gem’ punnn! Ya, ia memang sudah cukup terkenal dalam kalangan pelancong, tetapi ramai yang masih tidak tahu tentang pembaharuan yang telah dilakukan di sini.

Di Resorts World Genting, anda kini boleh bermain permainan berkonsepkan ‘virtual-reality’ di The Void, berseronok di Skytropolis Indoor Theme Park, melihat tarikan pelik di Ripley’s Believe It or Not! Adventureland, melihat SkySymphony Light & Sound Show di SkyAvenue Mall, menginap di Theme Park Hotel yang cantik dan banyak lagi aktiviti lain! 🎡🎡

Image credit: Ken Hunts Food Official Facebook

Pilihan makanan di Resorts World Genting juga pasti akan memuaskan hati (dan perut!) para ‘foodie’ di luar sana! Salah satu restoran yang cukup istimewa ialah ‘The Laughing Fish by Harry Ramsden’, sebuah restoran rangkaian makanan segera dari Britain yang menawarkan rasa asli Fish and Chips. 

Selain itu, ‘Burger & Lobster’, juga sebuah restoran rangkaian dari Britain yang menyediakan hidangan berasaskan lobster, ialah antara tempat makan yang anda perlu lawati di sini. Memandangkan restoran-restoran ini hanya terdapat di Genting Highlands, jangan lepaskan peluang untuk mencubanya jika anda berada di sana! 🍔🦐🐟

5. Fraser’s Hill seperti perkampungan Inggeris

Image credit: Fraser Hill Official Website

Digelar ‘Little England of Malaysia’, Fraser’s Hill di Pahang ialah kawasan tanah tinggi yang masih terpelihara daripada pembangunan pesat yang boleh dilihat di Cameron Highlands, Genting Highlands dan Bukit Tinggi. Maka, anda akan benar-benar menikmati suasana tenang seperti di perkampungan Inggeris. 🏡🌲 

Terdapat beberapa aktiviti yang menerima sambutan pengunjung di sini seperti menunggang kuda dan memanah di The Paddock, menginap di rumah tetamu ala Inggeris, ‘jungle-trekking’, mengayuh bot di Allan’s Water, dan memerhati pelbagai burung bermigrasi di Bird Interpretive Centre. 🐦

Jadi, jika anda ingin menikmati cuaca sejuk sambil bercuti bersama BFF anda, inilah tempat yang paling sempurna!

6. Resort tepi sawah padi, Langkawi 

Image credit: Alamanda Villas Langkawi Official Airbnb

Kalau kita bercakap tentang Langkawi, pasti gambar pantai yang akan muncul dalam fikiran. Kali ini, apa kata kita tukar pemandangan dan beralih ke kawasan sawah padi pula? 🌾🌾🌾

Image credit: Villa Kelapa Official Airbnb

Ramai yang masih tidak tahu akan kewujudan resort dan villa persendirian yang banyak terletak di sekitar kawasan bendang Langkawi. Kepada yang memilih untuk bercuti di sini, penginapan anda akan sering dikelilingi nyanyian burung dan serangga, persekitaran yang terpelihara daripada kesesakan pelancong, dan pemandangan yang mengagumkan tak kira pada waktu siang atau malam!

Antara tempat penginapan yang kami sarankan di sini ialah Alamanda Villas Langkawi, Villa Kelapa, Sayang Villas, Foxhill Langkawi, dan Sunset Valley Holiday Houses. 

7. Dusun durian ekslusif Bao Sheng Durian Farm, Penang

Image credit: Bao Sheng Durian Farm Official Facebook

Bao Sheng Durian Farm ialah antara dusun durian premium yang paling terkenal di seluruh Malaysia! Tempat ini amat sesuai bagi anda yang ingin menginap di tengah-tengah dusun durian, menyertai aktiviti yang dianjurkan seperti mengutip durian dan ‘durian tasting’ atau bersantai di kolam air spring dan mandi-manda di air terjun berdekatan!

Image credit: Bao Sheng Durian Farm Official Facebook

Dan yang paling istimewanya, anda boleh makan durian (dan buah-buahan lain!) pada bila-bila masa sahaja yang anda mahu. Manakala, bagi yang tidak bercadang untuk menginap, dusun ini juga ada menawarkan pakej bufet ‘2-hour Pass’ dan ‘Half-Day Pass’. Sila berkumpul, hantu-hantu durian semua! 😂

8. Kawasan tanah tinggi dan sawah padi Bario, Sarawak 

Image credit: Azreen Yunus.

Selain daripada kawasan sawah padi Langkawi, Bario yang terletak di Kelabit Highlands, Miri juga amat terkenal sebagai kawasan sawah padi yang mengeluarkan beras wangi termahal di Malaysia. Malah, maksud Bario juga sebenarnya terdiri daripada perkataan ‘Ba’ (sawah padi) dan ‘Rio’ (angin). Cuaca yang sejuk ala-ala di Cameron Highlands membuatkan pengeluaran beras dan nenas organik amat terkenal di sini.

Disebabkan tempat ini amat terpencil, pengangkutan yang akan membawa anda ke Bario dari Miri dengan pantas ialah kapal terbang ringan ‘19-Seater Twin Otter’ yang beroperasi di bawah MASWings. Dan yang paling istimewanya, anda dapat melihat kokpit pesawat dari tempat duduk anda dan menikmati pemandangan Gunung Mulu dari atas yang amat cantik!

Image credit: Intrepid Navigator

Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini ialah menginap di rumah panjang etnik Kelabit untuk mempelajari adat resam mereka, mendaki Prayer Mountain dan Proposal Hill, melawati ladang nanas, melihat pemandangan Milky Way yang amat jelas pada waktu malam, menyertai Pesta Nukenen (Bario Food & Cultural Festival) yang diadakan setiap tahun dan banyak lagi! ⭐🌌

9. Cameron Highlands, Pahang

Image credit: Cameron Highlands Resort Official Instagram

Baiklah, saya turut akui bahawa Cameron Highlands mungkin tidak layak dikategorikan sebagai ‘hidden gem’. Tentu kebanyakan pelancong pernah ke ladang teh dan kebun strawberi ini, bukan? 

Namun, ramai yang tidak tahu bahawa pelancong kini boleh menikmati piknik minum petang yang mewah di Cameron Highlands! Dengan bantal dan selimut yang selesa, set cawan piring ala Inggeris, pemandangan yang memukau dan udara yang sejuk dan nyaman, jangan kata anda tidak teringin untuk menikmati pengalaman yang menakjubkan ini! 

Jika itu tidak cukup untuk membuatkan anda kembali ke sini, terdapat satu lagi aktiviti yang mungkin dapat memikat hati anda: rawatan spa strawberi! Ia sama seperti rawatan spa biasa, tetapi semua minyak urutan, lulur dan sabun mandiannya berbahankan strawberi! Jadi, jika anda ke Cameron Highlands, jom cuba sesuatu yang berbeza pula!

Baca juga: Percutian Tempatan Yang Menarik! 10 Destinasi Yang Anda Mungkin Tidak Tahu

Itulah dia 9 destinasi percutian yang tersembunyi di Malaysia untuk anda lawati bersama-sama BFF anda! Persekitaran yang mesra alam serta pengalaman dan sejarah yang unik di tempat-tempat ini pasti akan membuatkan anda jatuh cinta dengan Malaysia. Rancang perjalanan anda dan jejaki kesemua destinasi yang menarik ini!

Published on


About Author

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Brand Managers!

Want to see your brand or business in this story?

Talk to us now

品牌经理们!

想在本文中看见您的品牌或公司吗?

现在就和我们联系吧

RECOMMENDED READS

RECENT ARTICLES