Tourism Australia Mobile Image

Panduan Mesra Muslim ke Australia: Destinasi Popular & Tips Yang Anda Perlu Tahu

Ah, indahnya, Australia! Dari kesibukan bandar yang meriah dan kota-kota yang mempesonakan, hinggalah ke pantai berpasir putih dan haiwan-haiwan liar yang menghiburkan, anda pasti jatuh cinta dengan “The Land Down Under.” Apa yang lebih menarik, Australia juga merupakan destinasi yang ideal untuk pelancong-pelancong Muslim seperti anda. Restoran halal? Tempat solat? Aktiviti mesra Muslim yang menyeronokkan? Semuaaa ada.

Jadi, teruskan membaca untuk mengetahui destinasi-destinasi popular di Australia yang bukan sahaja mesra Muslim, malahan sesuai dengan style melancong yang berbeza!

Tips berguna bagi pelancong Muslim yang mahu ke Australia

Image credit: Adelaide Central Market, Adelaide, South Australia © Lewis Potter

Sebagai pelancong Muslim, soalan pertama yang berlegar-legar di fikiran anda sebelum berkelana ke Australia tentu sahaja: “Mana nak cari makanan halal?” dan “Dekat mana nak solat?.”

Bagi menjawab dilema anda, nasihat kami adalah dengan memilih untuk melancong ke bandar-bandar utama Australia. Mengapa? Kerana bandar-bandar besar ini mempunyai populasi Muslim yang lebih ramai. Ini bermaksud restoran halal serta masjid juga lebih mudah dijumpai di destinasi-destinasi popular ini.

Bagaimana pula jika anda memang tak jumpa mencari kedai-kedai makan yang halal? Haa anda boleh sahaja mengambil alternatif untuk makan di kafe-kafe vegetarian yang terdapat di Australia. Anda hanya perlu tanya staf di sana untuk pastikan hidangan yang mereka sediakan tidak dicampur dengan alkohol dan voila, anda boleh menjamu selera dengan tenang!

Baca juga: Road Trips in Australia: Which of these Routes Suit You Best?

Destinasi popular di Australia yang mesra Muslim

1. Canberra, Australian Capital Territory (ACT) — untuk pelancong urban dan pencinta sejarah

destinasi popular australiaImage credit: Canberra Balloon Spectacular, Canberra, Australian Capital Territory © VisitCanberra

Canberra merupakan ibu negara Australia yang terkenal dengan muzium bertaraf dunia, galeri seni yang unik serta laman-laman semulajadi yang indah.

Destinasi popular di Canberra & sekitar

destinasi popular australiaImage credit: Canberra Balloon Spectacular, Canberra, Australian Capital Territory © Hcreations Photography for VisitCanberra

Antara aktiviti yang anda wajib cuba di Canberra termasuklah menaiki belon udara panas sambil menikmati pemandangan panorama ibu kota yang terbentang luas! Anda juga boleh berkunjung ke sini pada bulan Mac bagi menyaksikan langit Canberra dipenuhi berpuluh-puluh belon udara panas berwarna-warni sempena festival Canberra Balloon Spectacular yang dinanti-nanti setiap tahun.

destinasi popular australiaImage credit (L-R): GoBoat, Lake Burley Griffin, Australian Capital Territory © Tourism Australia; National Gallery of Australia, Australian Capital Territory © VisitCanberra

Setelah itu, luangkan masa bersiar-siar di Tasik Burley Griffin. Tasik indah ini sangat popular di Canberra dan anda boleh menikmati pemandangannya melalui pelbagai cara seperti berpiknik di atas bot elektrik GoBoat serta berbasikal mengeliling tasik. Selain itu, anda juga boleh bersiar-siar di Bridge to Bridge Walk dengan pasangan sambil menikmati pemandangan tasik yang menenangkan.

Tambahan lagi, Parliament House dengan seni reka bentuk yang unik memberi peluang untuk anda menyaksikan parlimen Australia bersidang secara langsung. Anda juga boleh berkunjung ke National Gallery of Australia dan saksikan koleksi hasil seni orang asli terbesar di negara ini. Mahu luangkan masa bersama si kecil? Bawa mereka meluncur gelongsor enam meter di Questacon – The National Science and Technology Centre atau biarkan mereka ‘menunggang’ dinosaur di The National Dinosaur Museum.

Restoran halal & tempat solat

Ya, anda tak perlu pening kepala mencari restoran halal di Canberra. Nikmati masakan halal Turki yang enak di Turkish Halal Pide House yang terletak berdekatan dengan Parliament House, atau kunjungi PappaRich Canberra yang terkenal dengan hidangan roti dan masakan Malaysia yang menyelerakan. BTW, Canberra Centre, pusat beli-belah terkemuka Canberra, terletak hanya tiga minit dari restoran ini!

Untuk menunaikan solat fardhu, pergi ke Masjid Sabah al Ahmad di Canberra Islamic Centre (CIC). Masjid ini mampu menampung kira-kira 1,000 pengunjung dan mempunyai ruang solat berasingan bagi lelaki dan perempuan. Perpustakaan dan kemudahan membasuh juga terdapat di sini.

2. Sydney, New South Wales — untuk penggemar pantai dan kaki ‘shopping’

destinasi popular australiaSydney Harbour | Image credit: Caleb via Unsplash

Sydney merupakan ibu negeri New South Wales yang dikenali sebagai bandar paling glamour di Australia. Apakan tidaknya, Sydney menawarkan pengalaman membeli-belah dan menjamu selera yang tak terhingga serta pelbagai tarikan pesisir pantai yang indah!

Destinasi popular di Sydney & sekitar

destinasi popular australiaImage credit: Sydney Harbour, Sydney, New South Wales © Destination NSW

Mulakan pengembaraan anda di Sydney dengan mengikuti pelayaran Sydney Harbour dari Circular Quay yang membolehkan anda menikmati pemandangan Harbour Bridge, Sydney Opera House, serta teluk-teluk dan pulau-pulau bersejarah yang menakjubkan. Kemudian, anda boleh bersiar-siar di Royal Botanic Gardens sebelum menaiki feri ke Taronga Zoo Sydney untuk memberi makan kanggaru dan bergambar dengan koala yang comel.

destinasi popular australiaImage credit (L-R): Taronga Zoo Sydney, Sydney, New South Wales © Taronga Zoo Sydney; Bondi Beach, Sydney, New South Wales © Destination NSW

Tak lengkap rasanya kalau pergi ke Sydney tanpa berkunjung ke Bondi Beach, pantai air biru berpasir putih. Di sini, anda boleh bermandi-manda dan belajar meluncur air sepuas-puasnya. Kira-kira enam kilometer dari pantai ini terdapat satu lagi pantai indah, Coogee Beach, yang terkenal sebagai salah satu lokasi snorkeling di Sydney. Bahkan, di sini, pelancong Muslimah boleh berkunjung ke McIver’s Baths, kolam air laut yang dibina khas untuk wanita sahaja!

Untuk pengalaman membeli-belah yang terbaik, Pitt Street Mall menampilkan 600 setor khas, kedai-kedai berjenama serta Strand Arcade yang begitu cantik. Bagi mereka yang mahu mendapatkan barang kemas serta alat perkakas rumah yang premium pula, Queen Victoria Building menawarkan pengalaman beli-belah dari 180 buah butik, kedai barang kemas serta kedai alatan rumah yang paling bermutu di Sydney!

Restoran halal & tempat solat

Makan mana best di Sydney? Anda wajib cuba masakan Malaysia yang halal di Ipoh on York! Antara hidangan paling laku di sini termasuklah laksa, char kway teow goreng, dan nasi ayam. Selain restoran ini, anda juga boleh pergi ke Lal Qila di Darling Harbour untuk rasai hidangan Pakistan yang halal, resepi turun-temurun pemiliknya.

Untuk pengunjung yang berada di tengah bandar Sydney, anda boleh menunaikan solat di King Faisal Surry Hills Mosque. Jika anda berminat untuk melawat masjid terbesar di Sydney dan seluruh Australia, anda dialu-alukan ke Lakemba Mosque yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar.

3. Darwin, Northern Territory — untuk ‘daredevil’ serta pencinta seni

destinasi popular australiaImage credit: Spectacular Jumping Crocodile Cruise, Darwin, Northern Territory © Tourism NT/Tourism Australia

Darwin, ibu negeri Northern Territory yang dikenali dengan vibe yang penuh warna-warni menjanjikan pelbagai pengalaman yang takkan dilupakan! Bandar ini juga sinonim dengan aktiviti pelayaran, habitat buaya, budaya orang asli serta pengaruh Asia dalam banyak aspek.

Destinasi popular di Darwin & sekitar

destinasi popular australiaImage credit: Crocosaurus Cove's Cage of Death, Darwin, Northern Territory © Tourism NT/Shaana McNaught

Bagi memulakan pengembaraan anda di Darwin, apa kata anda beramah mesra dengan buaya air tawar? Ya, melalui Spectacular Jumping Crocodile Cruises di Adelaide River, anda boleh melihat reptilia ini melompat dari air untuk merentap daging yang dijadikan umpan sambil berlayar di atas bot. Tak cukup adventurous? Anda boleh cuba pegang anak buaya comel di Crocodylus Park atau rasai pengalaman “berenang” dengan buaya di Crocosaurus Cove!

destinasi popular australiaImage credit (L-R): Aboriginal Bush Traders, Darwin, Northern Territory © Tourism NT/Tourism Australia; Deckchair Cinema, Darwin, Northern Territory © Tourism NT/Friederike Franze

Sementara di Darwin, jangan lepaskan peluang untuk mendalami sejarah masyarakat asli di sini. Lyons Cottage menampilkan Aboriginal Bush Traders, tempat menjual barangan kraf karya anak seni orang asli. Kemudian, anda boleh pergi ke Museum and Art Gallery of the Northern Territory yang menempatkan koleksi seni karya artis orang asli terkemuka di Australia. Setelah itu, pergi bersiar-siar di Austin Lane atau West Lane dan temukan lukisan mural orang asli yang indah dan begitu estetik!

Apa nak buat pada petang hari di Darwin? Kami sarankan anda berlayar dengan bot katamaran sambil menikmati keindahan matahari terbenam di Darwin Harbour. Untuk mereka yang mahukan pelayaran yang lebih lama, anda boleh sertai pelayaran empat hari ke Tiwi Islands dengan menaiki bot katamaran mewah. Pada sebelah malam pula, tonton wayang bersama orang tersayang di bawah kerdipan bintang di Deckchair Cinema! Syoknya~

Restoran halal & tempat solat

Nak cari tempat makan halal di Darwin juga mudah. Antara restoran yang wajib dikunjungi termasuklah Ayuriz Cafe yang terletak berhampiran dengan Crocosaurus Cove. Kafe ini menjual aneka hidangan asli Indonesia yang lazat dan amat popular dalam kalangan pelancong luar negara dan masyarakat setempat. Selain itu, anda boleh ke Indian Curry Paradise untuk menjamu hidangan klasik India yang dimasak menggunakan bahan-bahan segar yang berkualiti.

Bagi menunaikan solat, anda boleh datang ke Darwin Mosque yang dikenali juga sebagai Islamic Society of Darwin. Masjid ini terletak di Vanderlin Drive berdekatan dengan Casuarina Square, pusat beli-belah terbesar di Northern Territory.

4. Brisbane & Gold Coast, Queensland — untuk pencinta seni dan pengunjung cilik

destinasi popular australiaImage credit: Gold Coast, Queensland © Tourism and Events Queensland

Ibu negeri Queensland, Brisbane, dan jirannya, Gold Coast merupakan dua bandar utama di QLD yang paling padat dengan penduduk. Brisbane lebih dikenali dengan muzium berkelas dunia sementara Gold Coast merupakan syurga taman tema dan aktiviti luncur air!

Destinasi popular di Brisbane, Gold Coast & sekitar

destinasi popular australiaImage credit: Queensland Art Gallery & Gallery of Modern Art, Brisbane, South Australia © Tourism and Events Queensland

Jika berkunjung ke Brisbane, pastikan anda meluangkan masa di presint budayanya: South Bank. Di sini, anda akan jumpai dua galeri seni di tebing sungai iaitu Queensland Art Gallery (QAG) dan GOMA: Gallery of Modern Art. QAG memaparkan koleksi seni Australia dari zaman pra-penjajahan ke era kontemporari. Pameran di GOMA pula lebih kepada hasil seni moden bertema Asia dan Pasifik.

destinasi popular australiaImage credit (L-R): Tangalooma Island Resort, Queensland © Tourism and Events Queensland/Tourism Australia; Warner Bros. Movie World, Queensland © Tourism and Events Queensland

Untuk mendapatkan pengalaman beramah mesra dengan haiwan liar, anda boleh menaiki feri ke Tangalooma Island Resort di Moreton Island. Setiap petang, kawanan ikan dolfin bottlenose akan berenang ke permukaan air menuju pesisir pantai untuk diberi makan oleh pengunjung-pengunjung resort. Jadi, pastikan anda bersedia untuk ‘berbasah’ sebelum memberi makan dolfin-dolfin mesra di sini!

Kemudian, pergi ke Gold Coast di selatan Brisbane dan alami keseronokan tak terhingga. Destinasi pertama yang wajib anda tuju tak lain dan tak bukan: Sea World, taman tema yang membolehkan anda berkata G’day kepada beruang kutub dan berenang bersama dolfin. Setelah berhibur di dunia bawah laut, pastikan anda berjumpa dengan Batman dan superhero kegemaran anda sebelum meluncur dengan roller coaster yang mengujakan di Warner Bros. Movie World!

Restoran halal & tempat solat

Untuk menjamu makanan halal di Brisbane, pergi ke Mado Restaurant di South Bank Parklands dan nikmati masakan Turki yang enak bersama keluarga anda. Di Gold Coast pula, anda boleh dapatkan makanan halal di Shiraz Authentic Persian Restaurant di Surfers Paradise. Restoran ini terkenal dengan masakan Parsi dan Timur Tengah yang halal lagi menyelerakan serta menu vegetarian yang segar.

Bagi menunaikan solat di Brisbane, Holland Park Mosque, masjid pertama yang dibina di Queensland, mengalu-alukan kedatangan anda sama ada untuk mengerjakan ibadah ataupun menyertai kelas-kelas agama yang mereka jalankan. Jika anda berada di Gold Coast, anda boleh ke Gold Coast Masjid untuk menunaikan solat dengan selesa.

5. Adelaide & Kangaroo Island, South Australia — untuk pencinta alam dan penggemar makanan laut

destinasi popular australiaImage credit: Adelaide Hills, South Australia © Tourism Australia / South Australian Tourism Commission

Percutian di Adelaide, ibu negeri South Australia, dan Kangaroo Island, syurga pencinta alam, bakal membuatkan anda berasa tak ingin pulang! Tak percaya? Jom lihat apa ada di sana!

Destinasi popular di Adelaide & sekitar

destinasi popular australiaImage credit: RoofClimb, Adelaide, South Australia © South Australian Tourism Commission

Mulakan perjalanan anda di Adelaide dengan berkunjung ke Adelaide Central Market. Terdapat lebih 70 buah gerai yang beroperasi di sini dan majoritinya menjual hasil tani segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran, daging, makanan laut, keju serta roti dan pastri. Kemudian, saksikan pemandangan 360 darjah bandar Adelaide dari ketinggian 50 meter di RoofClimb yang terdapat di Adelaide Oval, sebuah stadium ragbi antarabangsa yang gah.

destinasi popular australiaImage credit (L-R): Beerenberg Strawberry Farm 'Pick Your Own', Adelaide, South Australia © South Australian Tourism Commission/Adam Bruzzone; Seal Bay, Kangaroo Island, South Australia © South Australian Tourism Commission

Untuk meluangkan masa bersama alam dan haiwan liar, anda boleh mengambil day-trip ke Adelaide Hills. Di sini, anda boleh berinteraksi dengan haiwan-haiwan liar seperti walabi, wombat serta kanggaru tikus yang dibiarkan bergerak bebas di Cleland Wildlife Park. Jika anda datang ke Adelaide Hills sekitar bulan November dan April, jangan lepaskan peluang untuk memetik stroberi di Beerenberg Farm yang popular dengan produk ladangnya yang segar.

Setelah itu, terbang ke Kangaroo Island yang didiami kanggaru, koala dan spesies burung unik dan teruskan bersuka ria dengan bersiar-siar di celah-celah kawanan anjing laut comel yang bergolek-golek di persisiran Seal Bay. Kemudian, cabar diri anda untuk melakukan sesuatu yang lain daripada yang lain seperti meluncur pasir di Little Sahara! Anda confirm suka!

Restoran halal & tempat solat

Sekiranya anda berkunjung ke Adelaide Central Market, tempat makan halal paling ideal yang wajib anda kunjungi ialah Le Souk yang terkenal dengan masakan Algeria seperti chakchouka, kuskus kambing serta sosej Merguez-nya yang enak. Tiba-tiba craving makanan laut yang segar di Kangaroo Island? Pastikan anda singgah di Oyster Farm Shop dan rasai hidangan tiram, abalon, dan marron (sejenis udang karang) yang menyelerakan.

Bagi menunaikan solat, anda boleh ke The Adelaide Mosque yang terletak di Gilbert Street. Untuk pengetahuan anda, masjid ini masih utuh sejak pertama kali dibina pada tahun 1888.

6. Hobart, Tasmania — untuk pencinta seni, pendaki, dan pencinta alam

Image credit: Mount Wellington, Hobart, Tasmania © Tourism Tasmania & Glenn Gibson

Di Tasmania, Hobart, merupakan destinasi yang wajib anda terokai untuk mendapatkan pengalaman yang unik di Australia. Daripada mengamati pameran seni dan menikmati makanan laut segar hinggalah mendaki gunung yang indah, pasti ada sesuatu yang baharu di Hobart untuk anda rasai setiap hari.

Destinasi popular di Hobart & sekitar

Image credit: The Museum of Old and New Art (MONA), Hobart, Tasmania © Mona and Rémi Chauvin

Tak sah kalau pergi ke Hobart tanpa menjejakkan kaki ke The Museum of Old and New Art (MONA). Muzium unik ini menampilkan pameran seni yang tak mudah diterima akal dan pasti membuat anda berfikir sejenak. Terowong bawah tanah dan perpustakaan dengan bahan bacaan yang terinspirasi dari taste David Walsh adalah dua dari aneka pameran yang anda perlu alami sendiri di sini.

Image credit (L-R): Tasmanian Seafood Seduction, Hobart, Tasmania © Tourism Tasmania & Peter Aitchison; Hobart Waterfront, Hobart, Tasmania © Luke Tscharke

Selain itu, anda juga boleh berlayar dengan Pennicott Wilderness Journeys dan saksikan pemandu pelancong yang bertugas terjun ke dalam laut dan membawakan anda abalon yang segar untuk dimasak dan dihidang di atas bot. Setelah itu, luangkan masa mendaki puncak Mount Wellington yang menunggu anda dengan pemandangan bandar, Bruny Island dan Tasman Peninsula yang mempesonakan.

Jangan lupa untuk beramah mesra dengan Tasmanian devils di Bonorong Wildlife Sanctuary! Di sini, anda boleh melihat marsupial ini secara dekat dan pelajari apa yang membuatkan mereka begitu istimewa. Kemudian, pergi bersiar-siar di Hobart’s historic waterfront ketika matahari terbenam. Pemandangan waktu senja ditemani kapal dan air tenang serta kesibukan kota yang semakin mereda pasti menambat hati anda!

Restoran halal & tempat solat

Tercari-cari tempat makan halal yang ‘ummph!’ di Hobart? Akhiri pencarian anda dengan berkunjung ke The Saffron Waterfront Indian Restaurant. Restoran ini dibina menghadap pelabuhan yang indah dan di balik pintunya terdapat ramai tukang masak profesional yang pernah berkhidmat di hotel-hotel mewah di India.

Di sini anda boleh rasai masakan India Utara dan Kashmir yang asli dan apa yang lebih penting: semua daging yang digunakan adalah halal! Tak pasti nak order apa untuk kali pertama datang ke The Saffron? Anda patut cuba hidangan Murgh Malai Kebab dengan ayam tanpa tulang berbentuk kiub yang diperap semalaman dan dipanggang sehingga sempurna.

Untuk menunaikan solat, kunjungi Hobart Mosque yang terletak di Warwick Street di sebelah barat Hobart. Anda boleh solat dengan selesa dan beramah mesra dengan komuniti Muslim di Hobart yang peramah.

7. Melbourne, Victoria — untuk ‘Instagrammer’, kaki ‘shopping’ dan pencinta alam

Image credit: Block Arcade, Melbourne, Victoria © Visit Victoria

Melbourne, Victoria, terkenal dengan kepelbagaian budayanya yang boleh dilihat daripada berbagai aspek, misalnya, dari segi seni dan makanan. Dari suasana bandarnya yang meriah hingga ke lanskap alam semulajadinya yang mendamaikan, anda pasti mahu bercuti di sini lebih lama!

Destinasi popular di Melbourne & sekitar

Image credit: Union Place, Melbourne, Victoria © Visit Victoria

Anda boleh mulakan pengembaraan di sini dengan bersiar-siar dan berposing di lorong-lorong ikonik Melbourne seperti Meyers Place dan Union Place yang dipenuhi dengan lukisan mural dan grafiti yang estetik. Setelah itu, anda boleh pergi membeli-belah di Block Arcade atau Royal Arcade yang terdapat di antara lorong-lorong artistik tadi.

Image credit (L-R): Yarra Valley, Victoria © Visit Victoria; Phillip Island Nature Park - Penguin Reserve, Victoria © Visit Victoria

Sedang tercari-cari kedai terbaik untuk dapatkan barang kemas, hasil kraf serta pakaian daripada artis-artis lokal di sini? Anda boleh datang ke Fitzroy’s Rose Street Artists’ Market untuk pilihan yang takkan mengecewakan! Mahu tinggalkan hiruk pikuk bandar dan berada dekat dengan alam semulajadi? Jom ke Yarra Valley dan petik buah stonefruit yang segar di Rayner's Orchards.

Kemudian, pergi ke Phillip Island yang terletak 90 minit dari bandar Melbourne dan saksikan penguin comel berbaris di pesisir pantai yang indah. Seterusnya anda boleh cuba menekan pedal di sepanjang Great Ocean Road yang berukuran kira-kira 240 kilometer dan lihatlah keunikan batuan 12 Apostles yang menakjubkan!

Restoran halal & tempat solat

Oleh sebab Melbourne didiami lebih daripada 150,000 Muslim, mencari makanan halal di sini tidaklah susah. Anda boleh hilangkan rindu menjamu masakan di rumah dengan berkunjung ke Chinta Ria Soul yang terkenal dengan masakan Malaysianya yang halal. Selain itu, anda juga boleh pergi ke satu lagi restoran halal Melbourne iaitu Killiney Kopitiam yang menyajikan masakan Singapura yang menyelerakan!

Nak solat juga mudah di Melbourne. Anda boleh ke Melbourne West Mosque yang tersenarai di bawah masjid-masjid yang diiktiraf oleh Islamic Council of Victoria (ICV) atau ke Broadmeadows Mosque, masjid terbesar di Melbourne.

8. Perth, Western Australia — untuk penggemar pantai & ‘urban traveller’

Image credit: Cottesloe Beach, Perth, West Australia © Tourism Western Australia

Perth di Western Australia menyajikan pengalaman dua dunia yang sangat unik untuk para pelancong. Anda boleh berjemur di pantai berpasir putih dan mengamati pemandangan metropolis moden, semua dalam masa satu hari!

Destinasi popular di Perth & sekitar

Image credit (L-R): Segway Tours in Rottnest Island, Western Australia © Tourism Western Australia; Quokkas in Rottnest Island, Western Australia © Tourism Western Australia

Cottesloe Beach adalah antara destinasi di Perth yang anda wajib jejakkan kaki untuk merasai pengalaman bermandi-manda di salah satu ‘pantai poskad’ di Australia. Pantai ini terletak kira-kira 20 minit dari bandar Perth dan kami sarankan anda datang sebelum pukul 10.30 pagi untuk rasai suasana nyaman yang tak terkata.

Jika anda mahu bersantai di pulau berdekatan dengan pesisir pantai Perth, pergilah ke Rottnest Island. Di sini anda boleh menunggang segway dan bergambar dengan quokka yang sentiasa tersenyum! Jika anda mahukan sesuatu yang lebih mendebarkan, kami cadangkan anda berlayar sambil melihat ikan paus humpback melompat dari permukaan laut tak jauh dari bot anda.

Image credit (L-R): Fremantle, Perth, Western Australia © Tourism Western Australia; Kings Park, Perth, Western Australia © Tourism Western Australia

Di bandar pula, anda boleh bersiar-siar di tengah-tengah kota pelabuhan penuh sejarah di Perth: Fremantle. Di celah-celah lorongnya pula terdapat banyak mural, ‘buskers’, dan kedai-kedai kopi yang pasti membuatkan anda kagum. BTW, jangan lupa luangkan masa di Kings Park yang menampilkan pemandangan hijau di tengah-tengah kesibukan bandar serta laluan-laluan indah yang dipenuhi bunga liar yang berwarna-warni.

Restoran mesra Muslim & tempat solat

Di Perth, anda boleh dapatkan makanan halal di Satay on Charcoal yang menyediakan hidangan Malaysia yang halal. Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk merasai keenakan hidangan fish ‘n’ chips serta makanan laut BBQ di Kailis Fish Market Cafe. Kafe ini terletak di Fremantle, dan walaupun alkohol turut dihidang di sini, anda boleh pesan menu vegetarian atau hidangan yang bebas alkohol tanpa ragu-ragu. Untuk solat pula, pergi ke Perth City Musallah di Murray Street yang menjanjikan pengalaman solat yang selesa.

Baca juga: 8 Family-Friendly Attractions in Australia That Offer Bonding Time

Kesimpulan

Sekian sahaja perkongsian kami mengenai destinasi popular dan mesra Muslim di Australia yang wajib anda lawati. Amacam? Destinasi mana satu yang menjadi pilihan anda? Apa-apa pun kami ucapkan selamat melancong ke Australia dan have a g’day, mate!

Tempah percutian Australia anda dengan trusted partners kami sekarang:

Apple Vacations Sdn Bhd

(+603) 2705 8228

Corporate Information Travel Sdn Bhd

(+603) 2091 9988

Forever Travel Service Sdn Bhd

(+604) 226 6633

Sedunia Travel Services Sdn Bhd

(+603) 2779 5480

Malaysia Airlines

1 300 88 3000

MY Trip.com

Dapatkan lebih banyak tips dan inspirasi pelancongan di: Australia.com


Dibawakan khas oleh Tourism Australia.

Published on


About Author

Izzati Haron

Izzati is an author to two poem anthologies, a slam poet wannabe, and a full-time nanny to her kitties. She loves dreaming about traveling the world just like most protagonists in the movies, but more often than not, her bank account only permits her to travel to her backyard.

Brand Managers!

Want to see your brand or business in this story?

Talk to us now

品牌经理们!

想在本文中看见您的品牌或公司吗?

现在就和我们联系吧

RECOMMENDED READS