Tourism Australia Mobile Image

8 Makanan Johor Yang Harus Dicuba Apabila Berkunjung Ke Johor

Bagi yang gemar untuk menerokai tempat-tempat makan yang best, anda pasti pernah ke Pulau Pinang atau Ipoh. Kali ini, apa kata kita merancang untuk menjamu selera di Johor pula? Pertemuan pelbagai masyarakat seperti Arab, Bugis, Jawa, Hakka, dan Hokkien telah menjadikan negeri yang kedua teramai di Semenanjung Malaysia ini sebagai salah satu negeri yang kaya dengan adat, tradisi dan adaptasi budaya.

Sebagai orang Johor yang kini bekerja sambil melancong sepenuh masa, saya sering teringat-ingat akan makanan Johor yang membuatkan saya ingin pulang ke kampung. Jadi, ini antara makanan-makanan tradisi Johor yang anda perlu cuba jika berkunjung ke sana!

1. Nasi Ambeng

Image credit: The Original Nasi Ambeng

Ah Nasi Ambeng, makanan kebanggaan masyarakat Jawa yang amat popular di Johor! Nasi Ambeng ialah makanan yang selalunya dihidangkan ketika kenduri dan majlis keramaian, dan dihidangkan di dalam dulang bersama aneka lauk-pauk seperti mee goreng, serunding kelapa, sayur goreng jawa, ayam/daging rendang, sambal dan ikan masin goreng.

Tetapi, kebanyakan restoran dan warung menghidangkannya di dalam bungkusan daun pisang seperti Nasi Lemak. Dan percayalah, segala rasa dan rempah yang datang daripada pelbagai lauk akan membuatkan Nasi Ambeng bungkus anda lebih sedap!

2. Mee Bandung

Image credit: Mee Bandung Muar JDM Official Facebook

Kepada sesiapa yang sukakan makanan laut, hidangan Mee Bandung yang suatu ketika dahulu dicipta oleh Pak Sharif Bandung amat disyorkan untuk anda! Kuah yang berasaskan udang kering dan kacang tanah memberikan rasa lemak manis yang istimewa kepada hidangan ini. Bahan-bahan lain termasuklah hirisan daging, udang, sotong, telur dan tauhu goreng lalu dipadankan dengan mi telur yang sudah dicelur.

Pak Sharif Bandung yang berasal dari Parit Jawa, Muar telah meninggalkan legasi yang besar kepada penduduk di sana. Kini, Muar merupakan tempat yang paling terkenal untuk anda mencuba Mee Bandung yang asli!

3. Laksa Johor

Image credit: Visit Johor Official Facebook

Sejarah Laksa Johor sememangnya antara topik yang suka untuk saya ceritakan kepada kaki makan di luar sana! Dipercayai bahawa Sultan Abu Bakar, pemerintah Melayu pertama yang menziarahi Eropah pada tahun 1866, telah menyukai pasta semasa percutiannya ke Itali. Jadi, baginda memerintahkan para chef di dapur istananya untuk menggantikan mi beras dengan spaghetti ketika menyediakan laksa.

Et voila! Maka, terhasillah Laksa Johor yang unik dari variasi laksa negeri-negeri lain. Dengan kepekatan kuah laksa pekat berasaskan ikan tenggiri/parang serta bahan-bahan hiasan dan daun herba yang segar, patutlah Laksa Johor memenangi hati penggemarnya! Untuk efek yang lebih asyik lagi, anda perlulah memakan hidangan ini menggunakan tangan. Makan spaghetti dengan tangan? Ya, hanya orang Johor sahaja yang tahu nikmatnya!

4. Kacang Pool

Image credit: Visit Johor Official Facebook

Selain daripada spaghetti, salah satu makanan fusion Johor yang paling popular datang daripada Timur Tengah. Ful Mudammas (stu kacang fava) merupakan makanan ruji masyarakat Mesir. Hidangan ini diperkenalkan di Johor Bahru oleh Makpol Kairon, lebih dikenali sebagai Haji K Pool, dan telah diubah suai untuk menepati citarasa masyarakat di sini.

Asas hidangan fusion Arab-Melayu ini ialah stu kacang fava dan daging cincang yang dihiasi dengan hirisan bawang besar, cili hijau, potongan limau kasturi dan telur mata separuh masak. Semua ini dipadankan dengan roti bakar mentega yang tebal dan lembut. Lupakan set English breakfast anda, inilah brunch yang anda patut nikmati.

5. Nasi Briyani Gam

Image credit: Nasi Beriani Gam Ulu Tiram Official Facebook

Briyani berasal dari negara Iran dan diperkembangkan di negeri-negeri benua Asia Selatan seperti India dan Pakistan. Ia mula diperkenalkan di Johor oleh pedagang-pedagang dari sana dan sehingga kini, Johor merupakan tempat kelahiran variasi Nasi Briyani Gam. Apakah yang dimaksudkan dengan gam? Ia merupakan teknik yang membungkus nasi separuh masak dengan kain putih dan diletakkan di atas lauk separuh masak.

Antara lauk yang popular ialah daging lembu atau kambing yang telah diperap dengan pelbagai rempah seperti jintan, ketumbar, buah pelaga dan sebagainya. Setelah masak sepenuhnya, ia kemudian dihidangkan dengan dalca, acar sayur/buah dan rendang. Bau harum rempah-ratus, daun herba dan beras basmati pasti akan menggiurkan anda!

6. Lontong Kering

Image credit: Visit Johor Official Facebook

Haaa, anda pasti sedar bahawa masakan tradisi Johor menggunakan banyak bahan dan pelbagai teknik masakan! Sama juga seperti Lontong Kering, antara makanan sarapan yang amat popular dalam kalangan masyarakat Johor.

Lontong, yang berasal dari Indonesia, ialah beras yang dikukus selepas dibungkus dengan daun pisang. Lontong Kering merupakan gabungan lontong yang dipotong kecil, kemudian dihidangkan dengan aneka lauk seperti sambal kacang, rendang ayam/daging, serunding kelapa, sambal tumis, dan sayur goreng Jawa. Ya, kami orang Johor akui bahawa Nasi Lemak sebenarnya tidak cukup berat untuk sarapan pagi!

7. Asam Pedas

Image credit: Restoran Anisofea Asam Pedas Johor Asli

Asam Pedas sudah tidak asing lagi bagi mereka yang menetap di selatan Malaysia, lebih-lebih lagi di Johor dan Melaka. Hidangan berasaskan ikan atau ayam ini amat popular bukan sahaja di Malaysia, malah juga di Sumatra, Indonesia.

Keistimewaan kuah Asam Pedas Johor terletak pada asas tumisan cili giling yang kemudiannya dimasamkan dengan air asam jawa. Manakala, bunga kantan dan daun kesum pula akan memberikan rasa yang unik kepada hidangan ini. Nak tahu satu rahsia daripada orang Johor sendiri? Selain daripada nasi putih, Asam Pedas juga sesuai digandingkan bersama lempeng kelapa!

8. Mee Rebus Haji Wahid

Image credit: What's going on in Johor Bahru?

Tidak terkeuali daripada hidangan-hidangan tradisi Johor yang lain, setiap komponen Mee Rebus dimasak dengan amat terperinci. Kuah yang berasaskan ubi keledek dan udang kering ini digandingkan dengan mi telur dan bahan hiasan seperti topping tepung udang kering yang rangup, telur pindang, taugeh, tauhu dan hirisan lada hijau.

Dipercayai berasal dari Indonesia sebagai Mie Godhok Jawa, resepi Mee Rebus yang istimewa telah diolah oleh Basid Ali Karam Ali, bapa kepada Haji Wahid pada tahun 1918 di Johor Bahru. Kini, Mee Rebus Haji Wajid merupakan makanan tradisional Johor yang anda WAJIB nikmati sekiranya anda berkunjung ke sana!

Titik pertemuan budaya

Jadi, itulah dia 8 makanan paling istimewa yang menjadi kebanggaan rakyat Johor, sebuah negeri yang mengamalkan pelbagai adat dan budaya. Tentu sekali, ada banyak lagi makanan tradisi Johor yang perlu saya ceritakan kepada anda. Tapi, apa kata anda datang ke Johor dan cuba kesemua 8 hidangan ini terlebih dahulu? Jemput makan, semua!

Baca lagi: 11 Aktiviti Menarik di Johor yang Anda Perlu Lakukan 

Published on


About Author

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Brand Managers!

Want to see your brand or business in this story?

Talk to us now

品牌经理们!

想在本文中看见您的品牌或公司吗?

现在就和我们联系吧

RECOMMENDED READS