Tourism Australia Mobile Image

8 Taman Tema Paling Top di Australia Untuk Bercuti Bersama Keluarga

Taman tema di mana magis zaman kanak-kanak hidup selama-lamanya sering menjadi destinasi pilihan seisi keluarga. Bukan sahaja tempat in membawa 1001 keriangan buat anak-anak, bahkan ibu bapa juga berpeluang merasai keseronokan yang sering mereka impikan sewaktu kecil. Tahukah anda, taman tema di Australia tidak terhad kepada taman tema air dan karnival sahaja?

Jom ketahui taman tema paling hangat di Australia yang wajib anda lawati bersama keluarga tersayang apabila pergi melancong di “land Down Under”!

1. Cockington Green Gardens — Australian Capital Territory (ACT)

Image credit: Cockington Green Gardens, Canberra, Australian Capital Territory © VisitCanberra

Langkah masuk ke alam miniatur di Cockington Green Gardens yang pastinya akan membuatkan anda berasa seperti king kong menakluk dunia! Sebagai salah satu tarikan popular dalam Gold Creek Village yang terletak hanya 15 minit perjalanan dari pusat bandar Canberra, taman unik ini mempamerkan kira-kira 1,500 model mini buatan tangan berbentuk manusia, bangunan, dan haiwan.

Tatkala menyusuri pameran Original, anda pasti akan tertarik dengan rumah-rumah comel berinspirasikan bandar Cockington di United Kingdom. Bahagian kesukaan ramai iaitu pameran International menampilkan replika bangunan terkemuka berskala kecil dari lebih 30 negara seperti Machu Picchu di Peru dan Petra di Jordan. Jangan terlepas lawati ruang Rose Room untuk melihat Waverly, rumah anak patung gaya Georgian dengan 34 bilik yang semestinya akan membuatkan anak anda teruja!

National Dinosaur Museum, Canberra, Australian Capital Territory © Tourism AustraliaImage credit: National Dinosaur Museum, Canberra, Australian Capital Territory © Tourism Australia

Sementara di Gold Creek Village, jangan lupa untuk singgah ke National Dinosaur Museum di mana anda sekeluarga akan disambut dengan model dinosaur T-Rex sepanjang 20 meter! Selain dapat berinteraksi dengan lebih dari 150 jenis model interaktif dinosaur yang lengkap dengan bunyi ngauman, muzium ini turut menawarkan pameran ilmiah seperti pameran fosil dari Zaman Trias hingga ke Zaman Ais.

Tip HalalZilla: Ingin mencari restoran halal yang sedap berdekatan Cockington Green Gardens? Pandu kereta anda ke Makanan Dumpling House di Canberra untuk merasai hidangan ruji Malaysia dan Singapore seperti roti canai, char kuey teow, dan laksa yang menyelerakan!

2. Luna Park Sydney — New South Wales

Luna Park Sydney, New South Wales © Destination NSWImage credit: Luna Park Sydney, New South Wales © Destination NSW

Rindu nak pergi fun fair? Pastikan Luna Park Sydney dijadikan persinggahan wajib dalam itinerari anda apabila bersiar-siar di Sydney Harbour. Dengan pelbagai tarikan seperti roller coaster, roda Ferris gergasi, dan carousel kuda, taman tema ini menjanjikan keseronokan tak terhingga untuk semua peringkat umur!

Mulakan pengembaraan di taman teman ini dengan berkongsi stereng dengan anak anda sambil berlanggar kereta bumper dengan pemandu lain di arena Dodgem City. Untuk penggemar cabaran, naiki buaian tinggi Volaré atau bersedia untuk menjerit sekuat hati di atas tunggangan Hair Raser yang pasti membuatkan adrenalin anda mengalir laju! Kemudian, bawa si kecil bermain permainan klasik karnival seperti Spin The Wheel dan Balloon Pop sebelum membawa pulang hadiah-hadiah yang menarik.

Taronga Zoo Sydney, New South Wales © Destination NSWImage credit: Taronga Zoo Sydney, New South Wales © Destination NSW

Kira-kira 6 kilometer dari Luna Park, anda juga boleh pergi melawat Taronga Zoo untuk bermesra dengan zirafah dan meerkat di tengah-tengah bandar Sydney seperti dalam filem Jumanji! Di utara NSW pula, taman ekstrem Treetops Adventure Central Coast di dalam Ourimbah State Forest terkenal dengan cabaran halangan bertali di atas pokok serta zipcoaster sepanjang 500 meter yang akan membawa anda melalui celahan kanopi pokok tinggi eucalyptus.

Tip HalalZilla: Jika anda mengidam masakan Cina Muslim yang enak, restoran No. 1 Halal Beef Noodles and Kebab kegemaran ramai adalah pilihan terbaik anda! Ada juga banyak restoran Halal di Sydney yang boleh anda cuba.

3. Darwin Waterfront — Northern Territory

Wave Pool at Darwin Waterfront, Darwin, Tasmania © Tourism NTImage credit: Wave Pool at Darwin Waterfront, Darwin, Tasmania © Tourism NT

Taman tema air sangat sinonim dengan kenangan percutian keluarga yang menyeronokkan. Dengan melawat destinasi musim panas popular Darwin Waterfront, anda dapat berkongsi keterujaan bermain air bersama keluarga tercinta sambil melakukan aktiviti-aktiviti mengujakan di tepi laut sampai kecut jari!

Wave Lagoon iaitu kolam renang berombak merupakan salah satu tarikan pengunjung di sini. Bersiap sedia untuk mencapai pelampung dan papan renang anda apabila siren berbunyi (setiap 20 minit) dan rasai cabaran menunggang ombak buatan mencecah 1.2 meter secara berperingkat. Kemudian, anda boleh berlari-lari, bergelongsor, malahan ber-back flip di atas air dengan permainan halangan terapung di Aqua Park yang dibuka untuk semua peringkat umur (6 tahun ke atas).

Pudakul Aboriginal Cultural Tours, Tasmania © Tourism NT/Tourism AustraliaImage credit: Pudakul Aboriginal Cultural Tours, Tasmania © Tourism NT/Tourism Australia

Selain bermandi-manda, terdapat pelbagai lagi tarikan unik di Darwin yang anda boleh cuba. Contohnya, mengikuti lawatan kebudayaan orang asli Pudakul di Lambells Lagoon. Dalam tempoh dua jam, pelbagai ilmu tradisional akan dikongsikan termasuk cara-cara membuat lembing, menganyam bakul, melukis batik, dan bermain alat muzik angin didgeridoo.

Tip HalalZilla: Selepas puas bermandi-manda, perut anda pasti mula berkeroncong. Anda boleh terus ke restoran Darwin Tandoor di Mitchell Street untuk merasai makanan asli India seperti roti naan, biryani, dan ayam tandoori yang menjilat jari.

4. Taman tema di Gold Coast — Queensland (QLD)

Warner Bros. Movie World, Queensland © Tourism and Events QueenslandImage credit: Warner Bros. Movie World, Queensland © Tourism and Events Queensland

Sebut sahaja Gold Coast, imej taman tema penuh keriangan di Australia pasti tergambar dalam fikiran anda. Digelar sebagai ibu kota taman tema, Gold Coast merupakan syurga taman tema yang menampilkan lima dunia hiburan berbeza di mana setiap satu daripadanya menawarkan pengalaman bersuka ria yang beraneka macam.

Mulakan pengembaraan anda di Warner Bros. Movie World yang menukarkan dunia alam fantasi kepada nyata. Di sini, anda boleh menaiki Justice League 3D – The Ride yang akan membawa anda menyusuri terowong gelap dan melawan kejahatan bersama-sama superhero kegemaran anda menggunakan senjata laser. Jangang lepaskan peluang menyaksikan karakter kartun dan superhero ikonik seperti Looney Tunes, The Flash, Batman, Scooby-Doo, dan banyak lagi melakukan persembahan khas ketika berarak untuk segmen Star Parade.

Sea World Marine Park, Queensland © Tourism and Events QueenslandImage credit: Sea World Marine Park, Queensland © Tourism and Events Queensland

Untuk mendapatkan pengalaman keluarga yang lebih bermakna, anda boleh membawa anak-anak ke Sea World dan biarkan mereka mengusap badan dan berjabat tangan dengan ikan lumba-lumba, anjing laut, atau penguin yang comel sambil diperhatikan ranger. Kami sarankan anda saksikan juga pertunjukan hebat oleh haiwan-haiwan marin ini bersama pelatih-pelatih profesional yang semestinya akan mencuit hati anda!

Tip HalalZilla: Kulinari halal amat mudah untuk dicari di bandar Gold Coast. La Jordania Restaurant menyajikan makanan tradisional Timur Tengah yang bukan sahaja lazat malah portion hidangannya juga besar dan mengenyangkan.

5. Naracoorte Caves National Park — South Australia (SA)

Naracoorte Caves National Park, Limestone Coast, South Australia © South Australian Tourism Commission/PhotographerImage credit: Naracoorte Caves National Park, Limestone Coast, South Australia © South Australian Tourism Commission/Photographer

Terletak di kawasan Limestone Coast, Naracoorte Caves National Park adalah salah satu tapak fosil terbaik di dunia yang menjadi tapak tinggalan megafauna seperti kanggaru besar dan singa marsupial yang pernah wujud suatu masa dulu.

Naracoorte Caves National Park, Limestone Coast, South Australia © Mike HainesImage credit: Naracoorte Caves National Park, Limestone Coast, South Australia © Mike Haines

Mahu teroka gua bersama seisi keluarga? Anda boleh berjalan melalui anak tangga ke dalam Stick-Tomato Cave sebelum menyusuri Alexandra Cave untuk melihat formasi stalaktit dan stalagmit yang sangat menakjubkan. Jika anda berminat, singgah di Bat Observation Centre dan perhatikan kelawar southern bent-wing yang terancam dari jarak dekat menggunakan kamera infrared.

Alang-alang bercuti di South Australia, apa kata anda melawat Echo Farm di Mount Gambier untuk beramah mesra dengan kawanan haiwan ladang seperti kambing biri-biri, keldai, arnab, dan alpaca? Anak-anak anda pasti teruja! Bagi mereka yang sukakan aktiviti penuh aksi pula, kami cadangkan anda bawa keluarga anda berlumba go-kart seperti pemandu F1 di atas litar karting bertaraf dunia di Bend Kartdome.

6. Penny Royal Adventures — Tasmania (TAS)

Penny Royal Adventures, Launceston, Tasmania © Tourism AustraliaImage credit: Penny Royal Adventures, Launceston, Tasmania © Tourism Australia

Alami vibe zaman kolonial British di Penny Royal Adventures, Launceston yang membawa anda kembali ke tahun 1825 di tanah lama Tasmania (Van Diemen). Di taman tema unik berkonsepkan lanskap lombong emas ini, anda dapat merasai keseronokan pelbagai aktiviti indoor dan outdoor dalam masa satu hari!

Dalam Gold & Gemstone Mine, si kecil pasti teruja dapat belajar mendulang emas tulen dan mencari batu permata beramai-ramai di dasar anak sungai. Kemudian, anda boleh menaiki bot Matthew Brady Dark Ride untuk mengetahui sejarah bekas banduan dan lanun Matthew Brady melalui tayangan visual menarik sepanjang terowong suram yang penuh debaran. Selain rock-climbing dan ziplining, terdapat juga aktiviti suspen lompat tebing setinggi 20 meter yang sesuai untuk anak remaja.

Don River Railway, Tasmania © Tourism Australia & Graham FreemanImage credit: Don River Railway, Tasmania © Tourism Australia & Graham Freeman

Di utara Tasmania, anda boleh sertai perjalanan selama 30 minit di atas kereta api lokomotif vintaj di Don River Railway dan berpeluang untuk masuk ke kabin pemandu tren! Setelah itu, alami keajaiban sains dan ruang angkasa di Ulverstone Planetarium yang pasti membuatkan mata anda bersinar dengan penuh kekaguman.

Tip HalalZilla: Makanan halal di Launceston boleh didapati di Lebanese Gourmet & Grill yang menghidangkan sajian tradisi Lubnan seperti kebab dan shawarma garing dengan cecahan kuah hummus yang lazat.

7. Sovereign Hill – Victoria (VIC)

Sovereign Hill, Ballarat, Victoria © Visit VictoriaImage credit: Sovereign Hill, Ballarat, Victoria © Visit Victoria

Sovereign Hill merupakan muzium terbuka di Golden Point yang mempersembahkan suasana bandar Ballarat dan kehidupan penduduknya selepas emas ditemui pada tahun 1850-an. Menyerupai bandar koboi, anda dapat bertegur G’day dengan watak-watak berkostum di tepi jalan seperti pelombong, tuan-tuan kedai, dan wanita bergaun kembang ala fesyen Victoria. Pengalaman berjalan di sini akan membuatkan anda rasa seperti berada di tengah-tengah set penggambaran filem!

Sovereign Hill, Victoria © Visit VictoriaImage credit: Sovereign Hill, Victoria © Visit Victoria

Untuk mengamati seni bina bangunan klasik pada zaman itu, pastikan anda bersiar-siar di Main Street dengan menaiki kereta kuda antik dari Horse Bazaar. Selepas itu, singgah di Boiler & Engine House untuk melihat proses emas cair menjadi jongkong emas, atau luangkan masa bersama keluarga di kedai Yarrowee Soap & Candle Works untuk belajar seni membuat lilin celup yang boleh dibawa pulang sebagai cenderamata.

Jika ke Melbourne, pastikan anda bawa anak-anak anda ke pameran interaktif di Scienceworks yang memaparkan keajaiban dunia sains dan teknologi. Ada ahli keluarga yang gayat tetapi ingin mencuba aksi terbang yang selamat? Bawa mereka atasi ketakutan tempat tinggi dengan menyertai aktiviti terapung dalam terowong angin di iFLY Melbourne Indoor Skydiving.

Tip HalalZilla: Untuk menikmati pengalaman juadah halal yang menyelerakan, berhenti sebentar di restoran Kazan Central Asian Kitchen berdekatan Sovereign Hill. Bau aroma masakan Turki yang mengancam beserta secangkir kopi asli yang pekat pasti membuka selera anda.

8. Shoalwater Islands Marine Park – Western Australia (WA)

Shoalwater Islands Marine Park, Western Australia © Tourism Western AustraliaImage credit: Shoalwater Islands Marine Park, Western Australia © Tourism Western Australia

Rugi jika anda bercuti di Western Australia tanpa berkunjung ke Shoalwater Islands Marine Park yang kaya dengan macam-macam kehidupan marin.

The Penguin Discovery Centre, Penguin Island, Western Australia © Tourism Western AustraliaImage credit: The Penguin Discovery Centre, Penguin Island, Western Australia © Tourism Western Australia

Sebaik sahaja berlepas dari jeti Rockingham, misi mencari ikan lumba-lumba liar terus bermula. Jika anda bertuah, rebut peluang untuk berenang bersama mereka di tepi bot. Selain itu, anda juga boleh ber-snorkel atau berkayak di persisiran pantai dengan anjing laut Australia di Seal Island. Tutup hari anda dengan menaiki feri ke Penguin Island untuk melihat koloni penguin comel jalan bergoyang-goyang di tepi pantai.

Tarikan lain yang anda boleh kunjungi di Western Australia tak lain dan tak bukan adalah Aquarium of Western Australia. Yang best-nya, akuarium ini menempatkan spesis kehidupan marin tempatan yang anda takkan temui di tempat lain. Antara makhluk-makhluk laut yang terdapat di sini termasuklah terumbu karang, ikan jerung, ikan nemo, dan sotong kurita. Jika berkesempatan, anda juga boleh berinteraksi dengan tapak sulaiman dan penyu kecil yang hidup di sini.

Tip HalalZilla: Anda boleh beli makanan halal berbungkus dari Rockingham Kebabs and Pizza yang menjual pelbagai pilihan snek ringan seperti pizza, kebab, dan burger.

Konklusi

Sekarang, anda sudah tahu bahawa taman-taman tema di Australia menjanjikan keseronokan tak terhingga dan kebanyakannya bukan jenis typical. Rasa macam nak pergi ke semuanya! Jadi, apa tunggu lagi? Beli tiket seisi keluarga ke Australia sekarang dan nikmati percutian yang takkan dilupakan di “land down Under”!

Tempah percutian Australia anda dengan trusted partners kami sekarang:

Apple Vacations Sdn Bhd

(+603) 2705 8228

Forever Travel Service Sdn Bhd

(+604) 226 6633

Sedunia Travel Services Sdn Bhd

(+603) 2779 5480

MY Trip.com

Malaysia Airlines

1 300 88 3000

Dapatkan lebih banyak tips dan inspirasi pelancongan di: Australia.com


Dibawakan khas oleh Tourism Australia.

Published on


About Author

Ain Nadzirah

A proud mama to 11 cats, Ain takes pleasure in all things cinematographic. When not behind the lens, she'd be roping her Lorelai Gilmore mom in the nostalgia of '90s and '00s rom-coms. Either that, or checking out flight tickets for kicks (til it's for real).

Brand Managers!

Want to see your brand or business in this story?

Talk to us now

品牌经理们!

想在本文中看见您的品牌或公司吗?

现在就和我们联系吧

RECOMMENDED READS