Tourism Australia Mobile Image

22 Tips Berguna Semasa Melancong Ke Eropah

Walaupun negara Jepun, Korea Selatan, dan China ialah antara destinasi yang popular bagi percutian musim sejuk, menikmati suasana nyaman dan bersalji di Eropah sungguh tiada tandingannya. Namun, bagi kebanyakan rakyat Malaysia, Eropah mungkin merupakan destinasi perlancongan sekali seumur hidup sahaja. Bukan sahaja ia memakan masa yang lama untuk tiba di sana, kosnya juga agak tinggi.

Jadi, jika anda merancang untuk ke sana, anda perlu memanfaatkan percutian anda dengan sebaik-baiknya. Jangan risau, kami di sini sedia membantu. Ingin tahu cara untuk berjimat duit di Eropah? Atau bilakah masa yang sesuai untuk melawatinya? Ini 22 tips berguna yang anda perlu tahu sebelum melancong ke Eropah!

1. Elakkan melancong pada musim panas

Sebagai rakyat Malaysia, kita gemar akan cuaca yang sejuk. Sebaliknya, masyarakat di Eropah berlumba-lumba untuk bercuti pada musim panas. Elakkan melancong ke Eropah pada bulan Jun, Julai dan Ogos. Bukan sahaja ia amat sesak dengan pelancong pada masa ini, malah cuaca di sana juga amat panas!

Mengapa anda mahu membazir duit untuk terbang ke Eropah dan berada dalam keadaan yang sesak dan panas jika anda boleh merasai semua itu dengan percuma di Malaysia?

2. Jangan melawati terlalu banyak destinasi sekaligus

Disebabkan aktiviti percutian ke Eropah amat jarang dilakukan, anda pasti mahu memuatkan sebanyak destinasi yang mungkin dalam itinerari anda. Jangan lakukan itu. Sebaliknya, ambil masa anda dan terokai destinasi anda dengan sebaik-baiknya. Mana tahu, anda mungkin akan menemui tempat-tempat tersembunyi yang kebanyakan pelancong tidak tahu!

3. Pilih destinasi alternatif

Tempat-tempat seperti London, Paris, dan Barcelona amat popular. Jadi jika anda mahukan percutian yang lebih murah dan santai, anda boleh memilih destinasi yang lain. Bandar-bandar yang terlalu popular ini selalunya lebih mahal dan overrated. Jadi, cuba pertimbangkan tempat yang kurang diketahui ramai dan saya pasti anda akan menemui sesuatu yang istimewa.

Cadangan saya? York (U.K.), Edinburgh (U.K.), Dublin (Ireland), Valencia (Sepanyol), dan Provence (Perancis).

4. Melancong ke negara di Eropah yang tidak menggunakan mata wang Euro

Jika anda seorang yang sukakan cabaran tetapi ingin berjimat duit, lupakan Eropah Barat. Terdapat banyak lagi tempat yang boleh dikunjungi  selain kawasan Zon Euro. Untuk destinasi percutian yang lebih murah dan menyeronokkan, pilih negara di Eropah Timur, di mana kebanyakan daripada mereka masih menggunakan mata wang sendiri.

5. Pelajari perkataan/frasa umum dalam bahasa asing

Jika anda melancong ke United Kingdom atau negara yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda mereka, komunikasi pasti tidak akan menjadi masalah buat anda. Namun, manfaat mempelajari bahasa asing bukanlah setakat untuk menyapa masyarakat tempatan sahaja.

Sepanjang percutian anda di Eropah, anda akan menyedari bahawa di sesetengah bandar/negara, kebanyakan papan tanda, papan maklumat, dan menu tidak menggunakan sepatah perkataan bahasa Inggeris. Anda amat bertuah jika ada gambar disediakan! Tetapi, jika anda berada di Sepanyol dan tiada gambar disediakan di menu restoran itu, mudah sekali jika anda tahu beberapa perkataan umum dalam bahasa mereka!

6. Menerima adat masyarakat tempatan

Perkara terakhir yang anda mahukan ialah kelihatan kekok di negara orang. Jadi, ketika anda melancong di Eropah, cuba untuk mempelajari dan menerima adat masyarakat tempatan. Makan makanan tempatan dan sertai aktiviti yang masyarakatnya syorkan kepada anda.

Bukan sahaja anda dapat merasai pengalaman berada di negara mereka, anda juga dapat meluaskan pemikiran serta mencuba cabaran dan peluang yang baru di sana!

7. Jangan malu untuk beramah-mesra

Jangan terkejut jika ada orang yang tidak dikenali cuba untuk berbual dengan anda semasa anda melancong.  Di Eropah, perkara ini dianggap seperti biasa, lebih-lebih lagi jika anda mengetahui bahasa mereka. Anda mungkin berasa curiga untuk bercakap dengan orang yang tidak dikenali, tetapi percayalah, bukan semua orang ingin menipu atau membahayakan anda.

8. Berbelanja di perniagaan milik keluarga

Jika anda ingin berjimat duit semasa melancong di Eropah, lawati kedai perniagaan milik keluarga dan pasar-pasar tani. Bukan sahaja harganya lebih murah berbanding dengan kedai runcit, malah para penjual di sini lebih ramah dan makanannya juga lebih segar!

9. Anda boleh menemui tempat tinggal yang murah di kawasan yang jauh dari pusat bandar

10. Tetapi, pertimbangkan pilihan yang ada dahulu

Walau bagaimanapun, berjimat untuk tempat tinggal yang murah kadang-kadang bukanlah idea yang baik. Lebih-lebih lagi jika kebanyakan tempat tarikan pelancong terletak di pusat bandar dan agak jauh dari tempat tinggal anda. Anda perlu mempertimbangkan kebaikan dan keburukannya sebelum membuat keputusan.

11. Pastikan kos perjalanan antara satu negara ke negara yang lain sentiasa rendah

Kebanyakan pelancong akan memilih untuk bercuti di negara-negara yang berbeza di Eropah. Dan percaya atau tidak, kosnya agak murah jika anda tahu bagaimana untuk melakukannya. Terdapat banyak penerbangan kos rendah yang membawa penumpang ke bandar-bandar yang popular di Eropah.

Anda juga boleh menaiki keretapi Eurail yang tersohor dan pergi mengembara ke serata Eropah. Jika anda benar-benar ingin menyimpan duit ketika melancong di sana, bas perjalanan jauh seperti Megabus juga ada disediakan.

12. Manfaatkan keretapi malam

Image credit: Simon Pielow

Ini ialah antara salah satu tips yang paling berguna! Terdapat banyak keretapi malam di Eropah (keretapi yang berlepas pada waktu malam). Jika anda mempunyai bajet yang ketat, menaiki keretapi malam bukan sahaja dapat menjimatkan duit anda, malah anda tidak perlu risau akan tempat tidur kerana anda boleh bermalam di sana.

13. Dapatkan kad pengangkutan awam

Kad ini akan menjimatkan masa dan wang anda jika anda bercadang untuk menggunakan pengangkutan awam sepanjang percutian anda. Kebanyakan bandar tumpuan pelancong di Eropah menawarkan perkhidmatan kad ini, jadi pastikan anda mendapatkannya!

14. Tunjukkan kad pelajar anda

Di Eropah, golongan pelajar mempunyai manfaatnya tersendiri, termasuklah diskaun tiket keretapi di sesetengah negara, diskaun tiket masuk ke tempat tarikan pelancong yang popular dan juga tiket masuk percuma di sesetengah muzium.

Dan yang paling istimewanya, pelajar dari mana-mana negara tidak terkecuali, jadi jangan lupa untuk membawa kad pelajar anda yang sah!

15. Lawati Pusat Maklumat Pelancongan sebelum mula bersiar-siar

Anda boleh mendapatkan pelbagai jenis maklumat, termasuklah tentang kad pengangkutan awam dan rebat pelajar seperti yang dinyatakan sebelum ini. Anda juga boleh mengatur lawatan dan mendapatkan tiket masuk ke sesetengah tempat tarikan pelancong di sana.

16. Bertanya tentang pas khas pelancong

Di sesetengah bandar seperti Geneva (Switzerland), terdapat pas khas pelancong yang anda boleh dapatkan. Pas-pas ini memberikan manfaat istimewa kepada pemegangnya seperti bayaran percuma pengangkutan awam dan diskaun tiket masuk ke lokasi-lokasi yang popular.

Pas khas ini ditawarkan untuk semua pelancong, tidak seperti rebat pelajar yang dinyatakan sebelum ini.

17. Semak waktu penutupan dan kerja-kerja renovasi

Walaupun kita sudah terbiasa dengan kedai mamak yang dibuka 24 jam di Malaysia, sesetengah kedai di Eropah ditutup awal pada waktu malam, lebih-lebih lagi ketika musim sejuk. Selain daripada restoran dan pasaraya, sesetengah tempat tarikan pelancong mempunyai waktu operasi yang berlainan pada setiap musim, jadi pastikan anda semak terlebih dahulu.

Selain itu, sesetengah tempat tarikan pelancong yang popular juga akan ditutup dari masa ke masa untuk kerja-kerja renovasi dan penyelenggaraan.

18. Tempah tiket terlebih dahulu untuk dapatkan diskaun dan elakkan barisan panjang

19. Sertai lawatan berjalan di bandar. Ia selalunya percuma

Tambahan pula, siapa yang tidak gemar untuk bersiar-siar dalam cuaca Eropah yang sejuk dan nyaman ini?

20. Makan di restoran pada waktu tengahari atau pergi ke dewan makan ‘food hall’

Disebabkan makan luar di Eropah agak mahal, kebanyakan restoran menawarkan set menu makan tengahari untuk menarik pelanggan. Set-set menu ini selalunya menawarkan pembuka selera, menu utama dan pencuci mulut.

21. Masak sekurang-kurangnya satu kali sehari

Menyediakan makanan untuk diri sendiri merupakan cara yang terbaik untuk berjimat wang. Pasaraya di Eropah menawarkan pelbagai bahan, dan jika anda mempunyai kemudahan memasak di tempat tinggal anda, anda perlu cuba untuk memasak!

22. Dapatkan wang anda di Malaysia

Akhir sekali, tips melancong yang relevan pada setiap masa: tukar semua duit anda sebelum meninggalkan Malaysia.

Jika di Asia, mungkin tiada masalah jika anda mendapatkan wang di ATM atau pusat pertukaran wang di lapangan terbang. Perkara ini berbeza di Eropah kerana kadar pertukaran yang ditawarkan oleh bank-bank di sana amat rendah, jadi anda perlu membayar lebih mahal.

Jika anda bercadang untuk menggunakan kad kredit, terdapat yuran pemprosesan luar negara yang akan dicaj. Jadi, sekali lagi saya nasihatkan untuk mengeluarkan semua wang anda di Malaysia.

Jadi, ini 22 tips untuk memanfaatkan percutian anda ke Eropah! Yang mana satukah anda rasa paling berguna? Jika anda ada tips untuk dikongsikan dengan kami, sila komen di bawah!

Published on


About Author

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Brand Managers!

Want to see your brand or business in this story?

Talk to us now

品牌经理们!

想在本文中看见您的品牌或公司吗?

现在就和我们联系吧

RECOMMENDED READS