Tourism Australia Mobile Image

Panduan Bercuti Bajet di Korea Selatan Khas Untuk Orang Malaysia

Beberapa tahun yang lalu, saya dengan gembiranya memangkah “Korea Selatan” daripada senarai bucket list saya. Ya, buat pertama kalinya, saya menjejakkan kaki ke tanah suci K-Pop dan kimchi untuk bercuti di sana selama 11 hari (10, jika tidak termasuk hari perjalanan saya).

Saya berpeluang melawati tempat-tempat menarik di Seoul, Busan dan Pulau Jeju bersama rakan saya. Seperti yang dilakukan di Jepun, kami berjaya melancong dengan selesa ke Korea Selatan dengan bajet yang agak ketat. Secara keseluruhannya, kami berbelanja kurang daripada RM4,000 (sebenarnya kurang daripada RM3,500 tapi anda akan tahu mengapa saya kata RM4,000 sebentar lagi) termasuklah pengangkutan dan tempat penginapan! Ini cara kami melakukannya!

Btw gais, baru-baru ini, Ringgit dah mengukuh tahu, jadi korang mungkin boleh melancong ke Korea Selatan dengan harga yang lebih rendah lagi!

Baca juga: A Malaysian Globetrotter’s Guide To The Philippines: 20 Experiences To Scratch Off Your Bucket List (Bahasa Inggeris)

Kos Penerbangan

Sebelum kita bermula, anda perlu tahu bahawa semasa saya bercuti di Korea Selatan, ia merupakan sambungan percutian 10 hari saya di Jepun. Jadi, kos penerbangan saya memang agak murah! Kami terbang ke Busan daripada Osaka, Jepun dengan tiket berharga RM285, sebelum terbang pulang ke Kuala Lumpur dari Seoul dengan tiket berharga RM620. Maka, jumlah keseluruhan kos penerbangan kami hanyalah RM905.

Tetapi, untuk perkiraan bajet yang objektif, kami akan menggunakan harga tiket penerbangan dua hala yang biasa.  Tip saya ialah menempah tiket sekurang-kurangnya 6-8 minggu sebelum tarikh penerbangan anda dan cuba dapatkan tarikh penerbangan pada pertengahan minggu (Selasa hingga Khamis) untuk harga yang terbaik.

Anda selalunya boleh mendapatkan tiket pada harga RM1,000 hingga RM1,300 jika anda menempah daripada syarikat penerbangan kos rendah. Buat masa sekarang, kita akan meletakkan bajet penerbangan dua hala anda pada harga RM1,500, kerana anda tahu yang anda perlu membayar harga bagasi tambahan sewaktu pulang nanti!

Pengangkutan di Korea Selatan

Jadi, sesudah anda tiba di Korea Selatan, anda perlu mendapatkan Kad T-Money terlebih dahulu, sama ada di lapangan terbang atau mesin layan diri di stesen-stesen keretapi (subway) dengan harga 2,500KRW (RM9).

Fungsinya sama seperti kad Touch N Go kita. Anda boleh menggunakan kad ini di mana-mana tempat di Korea Selatan untuk menaiki keretapi, bas awam, teksi, dan juga membeli barang di kedai serbaneka. Untuk menjimatkan wang serta memudahkan urusan harian anda, saya benar-benar mengesyorkan kad ini kerana ia amat berguna!

Image credit: Korea Tourism Organisation

Harga tambang keretapi di Korea Selatan agak rumit dan berbeza di sesebuah kawasan. Sebagai contoh, di Seoul, tambang asas bagi setiap perjalanan dalam jarak 10km ialah 1,350KRW (RM5). Tetapi, di Busan, tambang asasnya ialah 1,400KRW (RM5.10) dan 1,600KRW (RM5.80), bergantung pada tempat yang anda mahu pergi.

Image credit: LWYang

Bukan sahaja Kad T-Money akan memberikan anda diskaun tambang, malah ia juga akan menjimatkan masa anda jika anda bercadang untuk bergerak menggunakan pengangkutan awam. Anda juga boleh mengembalikan kad itu sebelum meninggalkan Korea Selatan dan segala baki duit akan dipulangkan kepada anda!

Saya menambah nilai sebanyak 50,000KRW (RM180) dan menggunakan hampir kesemuanya semasa di sana. Saya memutuskan untuk menyimpan kad itu sebagai kenangan dan juga untuk percutian saya pada masa hadapan.

Pengangkutan ke, dari dan di Pulau Jeju

Di Jepun, rakan saya dan saya merancang perjalanan kami dengan amat teliti dan kami juga menaiki bas selama 10 jam dari Tokyo ke Kyoto untuk berjimat. Kami tidak dapat melakukannya di Korea Selatan kerana kami ingin ke Pulau Jeju.

Kami boleh sahaja menaiki feri dari Busan, tetapi ia akan mengambil masa 12 jam dan tiketnya pula hanya 10,000KRW (RM36) lebih murah daripada harga tiket penerbangan. Tambahan pula, feri itu hanya berlepas pada hari-hari tertentu, jadi rancangan perjalanan kami pasti akan terganggu. Kami pun terus menempah tiket penerbangan sehala ke Jeju pada harga yang agak berpatutan iaitu RM165. Penerbangan kami ke Seoul tiga hari kemudiannya pula agak mahal, kira-kira RM270.

Semasa anda berada di Pulau Jeju, pengangkutan awam di sana hanyalah bas awam. Jangan bimbang kerana kebanyakan bas di Jeju mempunyai papan tanda dalam bahasa Inggeris dan terdapat juga skrin di hentian bas yang memaparkan jarak bas anda.

Satu perkara yang anda perlu ingat ialah tiada duit baki yang akan dipulangkan untuk tambang bas, jadi sediakan tambang secukupnya, ataupun, dapatkan Kad T-Money Transport untuk memudahkan hidup anda.

Secara keseluruhannya, ini jumlah kos pengangkutan kami di Korea Selatan:

Kad T-Money: 2,500KRW (RM9) + Tambah nilai 50,000KRW (RM180)

Penerbangan ke Pulau Jeju dari Busan: RM175

Penerbangan ke Seoul dari Pulau Jeju: RM270

Jumlah keseluruhan: RM624

Tempat penginapan

Sekali lagi, seperti yang dilakukan di Jepun, rakan saya dan saya memilih untuk tidak menginap di hotel termasuklah hotel bajet. Sebaliknya, kami menginap di rumah tetamu sepanjang percutian kami.

Kami bermalam selama 4 malam di Seoul (73,000KRW – RM265 setiap seorang), 3 malam di Busan (56,250KRW – RM205 setiap seorang), dan 3 malam di Pulau Jeju (RM175). Maka, jumlah kos tempat penginapan kami ialah RM645 bagi 10 malam = RM64.5/hari.

Sepanjang percutian kami, rumah tetamu yang paling saya gemari ialah semasa di Pulau Jeju. Walaupun harganya sangat murah, suasana rumah itu amat selesa dan amat mengalu-alukan tetamu. Kami berpeluang untuk  berjumpa dengan ramai pelancong dari luar negara, manakala pekerja di sana juga sangat ramah. Jika tiada tetamu di kaunter, mereka akan ke ruang tamu untuk berbual-bual dengan pelancong dan mengesyorkan tempat-tempat yang terbaik untuk makan (kebanyakannya barbeku) dan membeli-belah.

Terdapat juga sarapan percuma yang disediakan setiap hari. Cuma, anda perlu menyediakannya sendiri! Walaupun ia bukanlah bufet yang istimewa, sarapan itu sudah cukup mengenyangkan. Dan, ia dapat menjimatkan wang kami walaupun beberapa Ringgit sahaja. Eh, beberapa Ringgit pun duit juga, kan?

Jika ada berminat untuk tahu, rumah tetamu ini dipanggil Skywalker Guesthouse (tiada hadiah untuk sesiapa yang berjaya meneka filem kegemaran pemilik rumah ini!).

Anda juga boleh berjimat duit dengan bermalam di spa ala Korea (jimjilbang) jika anda mahu merasakan pengalaman sebagai penduduk tempatan.

Baiklah, setakat ini, kos untuk percutian 10 hari ini ialah seperti berikut:

RM1,500 (penerbangan dua hala) + RM624 (pengangkutan di Korea Selatan) + RM645 (tempat penginapan) = RM2,769. Boleh tahan, bukan? Lebih-lebih lagi kerana kita sudah mengira perbelanjaan yang penting.

Makan-makan

Satu perkara yang saya perasan sepanjang pengalaman saya bercuti ialah, perbelanjaan makan yang lebih banyak daripada perkara lain! Memang benar-benar anak jati Malaysia, bukan? Apatah lagi, sebagai peminat makanan Korea (saya salahkan Running Man), mula-mulanya saya agak risau tentang perbelanjaan saya di sana.

Dan jawapannya ialah…tak banyak mana pun.

Walaupun rakan-rakan saya di Seoul pasti tidak setuju, sebenarnya anda boleh memastikan perbelanjaan anda pada had 10,000KRW (RM36) sehari, bergantung pada apa yang anda makan. Walau bagaimanapun, untuk artikel ini, kita akan mengehadkan perbelanjaan pada 18,000KRW (RM64), iaitu 180,000KRW (RM645) sepanjang percutian ini.

Purata harga makanan di Korea Selatan ialah antara 5,000 hingga 7,000KRW (RM18-RM25) jika anda makan di restoran yang murah, juga dikenali sebagai 식당 (shik dang). Satu tip ialah untuk pergi ke tempat yang selalu dikunjungi pelajar (seperti Hongdae), atau di luar kawasan komersial seperti Gangnam atau Myeongdong.

Selain itu, harga makanan di pasar tepi jalan dan gerai makanan mobil juga agak berpatutan. Tempat-tempat ini membolehkan anda merasai makanan jalanan yang popular seperti tteokbokki (kek beras pedas), eomuk (kek ikan bersama sup), twigim (aneka makanan bergoreng), kimbap (nasi gulung ala Korea), dan banyak lagi. Anda juga boleh berkunjung ke kedai serbaneka seperti 7-11 untuk sarapan yang murah.

Tambahan pula, jika anda berjaya mencari tempat penginapan yang menyediakan sarapan (seperti rumah tetamu kami di Jeju dan Busan), anda pasti dapat lebih berjimat! Bukan itu sahaja, air selalunya diberi secara percuma di restoran-restoran di sana.

Akhir sekali, tip yang amat mudah dilupai: pelajari bahasa Korea yang asas. Masyarakat Korea amat bangga dengan budaya mereka dan tidak hairanlah jika mereka lebih ramah mesra jika anda tahu sedikit sebanyak tentang bahasa mereka. Mulakan dengan huruf bahasa Korea dan anda akan dapati ia agak mudah untuk dipelajari.

Anda tidak perlu memberi ucapan yang panjang lebar, sebaliknya belajar kata-kata ucapan yang mudah dan bagaimana untuk membeli makanan dalam bahasa Korea.

Ini amat penting terutamanya di pasar-pasar tepi jalan.

Semasa saya berada di pasar malam di BIFF Square (Busan), saya cuba untuk menggunakan bahasa Korea sebanyak yang mungkin. Walaupun terdapat beberapa kesilapan, usaha saya amat dihargai oleh penjual-penjual di sana. Sebagai balasan, mereka memberi lebih daripada apa yang saya beli secara percuma (seperti beberapa kepingan ladu tambahan) kerana “berbahasa Korea dengan baik”.

Ini bukan tip untuk berjimat duit, tetapi ia pasti akan membantu anda memahami budaya tempatan dan memperkaya pengalaman anda melancong di sana! Malah, jika anda peminat K-Pop seperti saya, anda akan rasa bangga untuk berbual dalam bahasa Korea. Seperti bintang-bintang Korea!

Ikuti tips-tips ini supaya anda dapat memastikan perbelanjaan makan anda ialah 180,000KRW (RM645) untuk 10 hari. Dengan bajet yang munasabah ini, rakan saya dan saya juga dapat bermakan malam di tiga barbeku ala Korea (dua di Hongdae, kawasan tumpuan pelajar) dan satu di Jeju.

Jumlah yang dibelanjakan setakat ini: RM3,415

Tempat tarikan

Seperti di Jepun, anda tidak perlu berbelanja sakan di Korea Selatan untuk melihat tarikan-tarikannya yang popular. Rakan saya dan saya berjaya membelanjakan hanya 11,000KRW (RM40) untuk tiket kemasukan, tetapi ini bermakna kami perlu meninggalkan tarikan seperti Lotte World dan Everland Theme Park.

Tentu sekali, jika anda mahu melawati tempat-tempat ikonik ini, anda boleh melakukannya tanpa berbelanja banyak. Tipnya ialah untuk mencari ejen tempahan dan organisasi pelancongan yang menawarkan diskaun. Membeli tiket secara online melalui organisasi pihak ketiga seperti Funtastic Korea selalunya lebih murah daripada membeli di pintu masuk taman tema.

Image credit: Funtastic Korea

Sebagai contoh, bayaran tetap untuk pas hari dewasa di Everland ialah 54,000KRW (RM196). Tetapi, jika anda membeli melalui Funtastic Korea, anda akan diberikan diskaun. Cuma, tiket berdiskaun ini selalunya mempunyai tempoh sah yang tetap (seperti tangkapan skrin di atas, iaitu sah dari April ke Oktober sahaja). Maka, anda hanya perlu merancang dengan bijak dan ia pasti tidak akan menjadi masalah.

Di Busan, kami melawati Jagalchi Market (pasar makanan laut terbesar di Korea), Taejongdae Scenic Area, Gamcheon Cultural Village, BIFF (Busan International Film Festival) Square, Haeundae Beach, daerah Nampo (popular untuk makanan), dan Gukje Market yang tersohor. Daripada kesemua tempat ini, kami hanya berbelanja di Taejongdae: 3,000KRW (RM11) untuk “unlimited rides” di Danubi Train.

Bayaran itu pun sebenarnya tidak diwajibkan kerana kami boleh memilih untuk berjalan di sepanjang kawasan itu. Tetapi, dengan menaiki keretapi, ia memudahkan kami untuk naik dan turun di pelbagai lokasi di sana.

Kami tidak melakukan banyak aktiviti di Pulau Jeju dan cuma berpeluang melawati Manjanggul Caves, Dongmun Traditional Market, Geumneung Euddeum Won Beach, and Gimnyeong Maze Park. Oh ya, kami juga hampir pengsan mendaki ke puncak Hallasan (gunung tertinggi di Korea)!   

Kami menghabiskan sebanyak 2,000KRW (RM7) untuk pas kemasukan di Manjanggul Caves dan 3,000KRW (RM11) di Gimnyeong Maze Park. Tip pro: jika rakan anda tidak mahir akan arah, JANGAN biarkan mereka menavigasi di maze park itu! Malangnya, ia masa berharga yang saya takkan dapatkan semula.

Akhir sekali, di Seoul, kami berpeluang melawati beberapa tarikan ikonik di bandar itu.

Kami melawati Gyeongbokgung Palace, Bongeunsa Temple, Itaewon, Hongdae, Myeongdong, Gangnam, Han River, Seoullo 7017, Bukchon Hanok Village, dan mengintai di bangunan JYP Entertainment Namsan.

Kami membayar pas kemasukan ke Gyeongbokgung Palace sebanyak 3,000KRW (RM11), dan itu sahaja perbelanjaan kami di sana. Pada kebanyakan masa, kami sentiasa mencari jalan untuk berjimat. Sebagai contoh, di Namsan, kami tidak membayar 10,000KRW (RM36) untuk menaiki kereta kabel, sebaliknya kami mendaki hingga ke atas puncak!

Ia merupakan keputusan yang tepat kerana kami berpeluang menikmati pemandangan yang cantik sepanjang pendakian kami. Ia tidak begitu sukar, tetapi anda perlu bersedia untuk menaiki anak tangga yang banyak! Kami melakukannya dua hari selepas mendaki Hallasan, jadi ia tidak mustahil walaupun kaki anda sudah lenguh.

P.s.,saya hanya bergurau tentang mengintai di Bangunan JYPE. Saya tidak pernah ke sana. Dan anda tidak patut mengintai di mana-mana bangunan. Anda tidak akan berjumpa dengan artis-artis di sana. Ia sangat jarang berlaku. Anda tidak akan melihat sesiapa pun. Serious.

Okey… Anda mungkin akan bernasib baik seperti saya, tetapi, secara jujurnya, jangan pula anda berkhemah di luar bangunan syarikat hiburan di sana. Ia tidak elok dan anda berdepan risiko disenarai hitam pada masa hadapan.

Baiklah, bajet kita setakat ini ialah: RM3415+RM40 = RM3455

Membeli-belah

Image credit: Chelsea Marie Hicks

Baiklah, perkara ini agak rumit. Andaikan anda mengikuti bajet kami dengan sebaik-baiknya, anda akan mempunyai baki RM500 (137,600KRW) untuk membeli-belah. Jumlah ini lebih daripada mencukupi dan ia bergantung pada apa yang anda beli dan bagaimana anda membelinya. Mari kita lihat apakah tips untuk berjimat di sana.

Walaupun pusat membeli-belah seperti COEX Atrium di Gangnam kelihatan amat menarik, ia bukanlah tempat yang sesuai untuk membeli-belah secara ekonomi. Jika anda ingin membeli cenderahati yang popular seperti stokin kartun, beg duit dan perhiasan Korea yang unik, pergi ke pusat membeli belah bawah tanah (underground malls) dan juga pasar tepi jalan.

Harga di tempat-tempat ini ialah antara 1,000KRW (RM3.50) untuk sepasang stoking hinggalah 10,000KRW (RM35) untuk barang-barang premium seperti beg galas dan penyepit makanan chopsticks yang cantik.

Di Pulau Jeju, anda perlu melawati Dongmun Market dan Jeju Jungang Underground Shopping Centre untuk harga yang terbaik bagi barangan istimewa buatan Jeju seperti coklat hallabong, biskut tangerin dan patung-patung mini yang diukir dengan batu gunung berapi.

Jika anda ingin membeli barangan K-Pop, pergi ke daerah Myeongdong. Tetapi, jangan terus bergegas ke kedai-kedai mewah di tepi jalan itu. Terdapat sebuah tempat bernama Myeongdong Underground Mall di dalam stesen subway Myeongdong, di mana anda akan menemui tawaran yang hebat di sana.

Harganya ialah antara 1,000 hingga 30,000KRW (RM3.50 – RM110), bergantung pada barangan yang anda cari. Album dan buku gambar selalunya lebih mahal daripada poster, kad gambar dan magnet/pin. Tetapi, jangan risau. Tidak kira apa yang anda mahu beli, ia lebih murah daripada harga di Malaysia!

Kepada yang mahu membeli kosmetik dan produk kecantikan, anda pasti akan tergoda untuk membeli-belah di Gangnam. Namun, tips saya ialah untuk pergi ke kawasan tumpuan pelajar, seperti Hongdae. Harganya lebih murah kerana para penjual di sana ingin menepati bajet pelajar universiti. Satu lagi tip yang berguna ialah untuk pergi ke Myeongdong, di mana banyak kedai yang bersaing (selalunya bersebelahan sesama sendiri) memberikan sampel percuma kepada pelanggan.

Image credit: Benson Kua

Akhir sekali, bagi cenderahati tipikal orang Malaysia: snek dan makanan! Pilihan yang terbaik ialah Lotte Department Stores. Bukan sahaja anda akan menemui pelbagai snek Korea di sana, malah harganya juga amat berpatutan!

Purata harganya ialah antara 5,000 hingga 10,000KRW (RM18 – RM36) bagi setiap pek makanan. Tetapi, jika anda ingin tahu pendapat saya, keropok Honey Butter Chips yang pernah menjadi kegilaan ramai beberapa tahun lepas itu bukanlah hebat mana pun selepas anda makan sekali.

Jadi, secara keseluruhannya:

Tiket penerbangan: RM1500

Pengangkutan Domestik: RM624 (dengan baki di dalam Kad T-Money)

Tempat penginapan: RM645

Makanan: RM645

Tempat tarikan: RM40

Membeli-belah: RM500

Jumlah Keseluruhan: RM3954

Annyeonghaseyo, Korea!

Dan itulah dia, 10 hari, 3 bandar utama di Korea, semuanya di bawah RM4,000!

Namun, saya mesti tekankan bahawa nombor ini amat subjektif. Sebagai contoh, saya berbelanja banyak untuk cenderahati dan berjimat untuk makanan, tetapi anda boleh melakukan sebaliknya.

Walau apa pun, saya berharap tips ini dapat membantu merancang pengembaraan anda di Korea pada masa hadapan! Ia sememangnya tempat yang sangat indah dan perlu diterokai ramai!

Published on


About Author

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Brand Managers!

Want to see your brand or business in this story?

Talk to us now

品牌经理们!

想在本文中看见您的品牌或公司吗?

现在就和我们联系吧

RECOMMENDED READS