Check out all the city’s must-visit attractions and must-try foods!
Mengembara ke luar negara buat kali pertama merupakan suatu pengalaman yang betul-betul membuka mata dan minda. Bukan itu saja, bahkan saya juga menemukan versi baharu dalam diri saya: seorang yang pandai membaca peta! Terdapat bermacam perkara yang saya pelajari sepanjang perjalanan solo ini, kebanyakannya daripada budaya dan rakyat wilayah itu sendiri. Jadi, teruskan membaca untuk ketahui 16 tips terbaik anda wajib tahu sebelum berkunjung ke Hong Kong!
Baca juga: Panduan Melancong Untuk Muslim: 72 Jam di Hong Kong
Adalah amat penting untuk pengembara solo di Hong Kong untuk kekal berhubung. Setelah mendarat di Hong Kong International Airport (HKIA), anda boleh cari kedai 1O1O (CSL Mobile), 7-Eleven, kedai China Mobile Hong Kong, atau kaunter pengurup wang Travelex. Kedai-kedai ini menjual kad sim Hong Kong dengan harga yang berpatutan. Harga sekeping kad sim bergantung kepada jenis ‘pass’ yang anda beli. Saya dapatkan ‘pass’ 3GB, 5 hari, internet 4G dengan harga HKD88 (MYR52.23).
Selain itu, anda juga digalakkan menggunakan internet tanpa wayar/ ‘WiFi’ percuma Hong Kong dengan sepenuhnya. Ya, anda boleh melayari internet dengan menghubungkan telefon anda dengan ‘hotspot WiFi’ percuma, terutamanya di tempat-tempat awam seperti lapangan terbang, stesen MTR dan kawasan pengangkutan awam yang terdapat di sana.
Sesiapa yang mencipta Google Maps dan aplikasi MTR Mobile, anda sememangnya hero! Saya mampu meredah Hong Kong hanya menggunakan dua aplikasi ini. Google Maps sangat membantu saya berjalan menuju ke destinasi dan memudahkan saya mencari tempat-tempat yang agak tersembunyi di tengah-tengah kota metropolis ini.
Sebagai pengembara solo, cara terbaik untuk anda berjalan di sekitar Hong Kong adalah dengan menaiki MTR. Oleh itu, sebaiknya anda muat turun aplikasi MTR Mobile yang membolehkan anda melihat jalan keseluruhan yang akan dilalui MTR yang anda naiki. Pada saya, gambaran penuh ini sangat membantu saya merancang perjalanan dengan lebih berkesan kerana saya dapat melihat di stesen mana saya patut berhenti dan di mana saya patut menukar stesen. Tambahan pula, anda boleh dapatkan info trafik terkini dan menyewa teksi melalui aplikasi ini!
Terdapat pelbagai lagi pengangkutan awam Hong Kong yang anda perlu cuba naiki selain MTR. Anda boleh menaiki bas, teksi, ataupun pengangkutan trem dua tingkat berwarna-warni yang begitu ikonik di wilayah ini. Jika anda merupakan seorang pengembara solo yang mahu berjimat, menaiki kenderaan unik ini merupakan sebuah pengalaman mahal dengan harga murah. Bukan sahaja trem ini memudahkan anda berjalan di sekitar bandar Wan Chai, Western District, Causeway Bay, Happy Valley, dan North Point, malahan anda boleh menikmati pemandangan nostalgik kota Hong Kong di sepanjang perjalanan.
Tip bonus: Cuba dapatkan tempat duduk paling depan di dek bahagian atas trem. Pemandangannya sumpah cun!
Untuk memastikan perjalanan yang lancar sebagai seorang pengembara solo di bandar Hong Kong, anda perlu dapatkan ‘Octopus card.’ Kad ini membantu anda membayar hampir kesemua tambang pengangkutan awam utama tanpa membawa wang tunai. Anda juga boleh membayar barang-barang ‘shopping’ dan sarapan pagi serta makan tengahari/malam menggunakan kad ini. Apa yang lagi best, anda boleh menggunakan ‘Octopus card’ untuk membayar tambang ‘Star Ferry’ yang membolehkan anda berlayar dari kepulauan Hong Kong ke semenanjung Kowloon!
Saya galakkan anda untuk membeli kad ini di lapangan terbang atau mana-mana stesen MTR terdekat kerana ‘Octopus card’ yang dijual di lokasi-lokasi ini datang dengan nilai storan sedia ada. Anda perlu membayar deposit HKD50 (MYR 29.19) namun wang anda akan dikembalikan semula apabila anda pulangkan kad ini di lapangan terbang (sebelum berangkat ke tanah air). Selain itu, anda juga boleh dapatkan kad ini di kebanyakan cawangan 7-Eleven atau Circle K yang terdapat di sekitar bandar Hong Kong. Namun, anda perlu tambah nilai kad ini sendiri.
Jika anda perlukan pertolongan di Hong Kong, jangan segan silu untuk bertanya kepada masyarakat tempatan di sana. Rakyat Hong Kong agak fasih berbahasa Inggeris, jadi, anda boleh bertanyakan tentang arah, harga dan informasi umum yang lain kepada mereka. Alternatif lain adalah dengan menggunakan “Hong Kong Travel Buddy” live chat yang boleh diakses melalui laman web rasmi Hong Kong Tourism Board.
Anda hanya perlu katakan ‘hai’ kepada ‘Travel Buddy’ anda di LINE app untuk memulakan perbualan. Pemandu pelancong maya ini akan membalas mesej anda dengan segera dan akan mencadangkan tempat-tempat menarik yang boleh anda lawati serta jalan pintas yang boleh anda ambil untuk sampai ke destinasi-destinasi yang dicadangkan. Psst, sambil-sambil tu, jangan lupa tanyakan port makan best berdekatan anda kepada ‘Travel Buddy’ yang bertugas. Sememangnya teman melancong yang amat berguna untuk semua pengembara solo!
Cara terbaik untuk dapatkan pengembaraan yang takkan dilupakan di pelabuhan harum ini adalah dengan memastikan itinerari anda selari dengan perayaan tahunan wilayah ini. Anda juga berpeluang bertemu kawan baharu di majlis-majlis keraian seumpama ini. Untuk pengetahuan anda, terdapat pelbagai festival tahunan Hong Kong yang anda boleh sertai, bergantung kepada bulan anda bercadang untuk melawatinya.
Saya cadangkan anda menaiki sampan mengelilingi perkampungan Aberdeen pada hujung Mei atau awal Jun untuk menyaksikan perlumbaan bot naga tahunan di sana. Jika anda berkunjung pada bulan September, saya galakkan anda sertai mana-mana lawatan berjalan di Causeway Bay yang memasukkan Victoria Park sebagai salah satu lokasi perhentian mereka. Anda pasti terpesona dengan suasana magikal lampu-lampu tanglung bergemerlapan sewaktu perayaan Mid-Autumn Festival di sini.
Untuk anda yang bercadang untuk datang ke Hong Kong pada bulan Oktober pula, apa kata anda berkunjung ke Disneyland atau Ocean Park? Anda pasti teruja melihat kedua-dua taman tema ceria ini tampil dengan aura seram yang tak pernah anda saksikan sebelum ini! Sekiranya anda mahu melancong ke Hong Kong pada bulan-bulan yang lain, jangan risau, kerana wilayah ini mempunyai sekurang-kurangnya satu perayaan penting pada setiap bulan yang boleh anda alami.
Sebagai seorang pengembara solo, salah satu cara efektif untuk anda amati lanskap Hong Kong adalah dengan menyertai pelbagai lawatan berjalan yang disertai oleh pengembara-pengembara solo yang lain. Lawatan-lawatan seumpama ini membolehkan anda berkelana di sekitar bandar dengan rakan-rakan pelancong yang sekepala dengan anda. Tambahan lagi, pemandu pelancong yang bertugas juga sangat ramah dan berpengetahuan tentang tempat-tempat yang mereka bawa anda lawati.
Saya berpeluang menyertai lawatan berjalan sekitar suasana seni tempatan Hong Kong dan ianya amat menyeronokkan! Mereka membawa ke kawasan Central untuk melihat seni lukis jalanan terbaik di sana. Satu lagi lawatan berjalan yang anda boleh sertai ialah lawatan mercu tanda Hong Kong yang menawarkan perjalanan ke tempat-tempat tarikan utama yang wajib dilawati oleh pelancong-pelancong yang pertama kali datang ke Hong Kong. Antara perhentian menarik yang terdapat dalam jadual mereka termasuklah Man Mo Temple dan Western Market.
Walaupun sesetengah lawatan berjalan adalah percuma, terdapat juga lawatan yang berbayar. Jika anda berminat untuk menyertai lawatan seperti ini, anda boleh semak pakej dan slot yang masih dibuka di sini.
Salah satu perkara paling ‘cool’ yang anda boleh lakukan sebagai pengembara solo adalah dengan menjejaki keindahan pulau-pulau di wilayah ini. Oleh sebab tidak terikat dengan apa-apa jadual perjalanan, pengembara solo lebih fleksibel untuk menyertai perjalanan seharian ke pulau-pulau serata Hong Kong.
Salah satu lokasi kegemaran saya ialah perkampungan nelayan Tai O yang terletak di Lantau Island. Untuk pergi ke sini, anda boleh menaiki MTR ke Tung Chung Station dan mengambil bas no. 11 ke perkampungan nelayan tersebut. Perjalanan akan mengambil masa lebih kurang satu jam, namun, pemandangan yang bakal menemani anda takkan membuat anda berasa bosan sedikit pun, terutamanya panorama matahari terbenam di sepanjang teluk.
Satu lagi pulau yang wajib anda kunjungi ialah Cheung Chau Island. Untuk sampai ke sini, anda perlu berlayar menggunakan feri dari Central Pier Ferry No. 5. Setibanya di pulau, anda boleh menyewa basikal dengan harga serendah HKD50 sehari di Tai Hing Tai Road. Tak minat berbasikal? Sertai lawatan 360 darjah mengelilingi pulau Cheung Chau dengan menaiki bot.
Jika anda berkunjung ke pulau ini pada bulan Mei, anda berpeluang menyaksikan perayaan tahunan Cheung Chau Bun Festival yang dikenali dengan tarian singa yang mengagumkan, tiang buluh berukuran 60 kaki serta acara berebut pau yang gila-gila. Alternatif lain untuk anda adalah dengan mendaki trek pendakian popular Lamma Island yang membolehkan anda menikmati pemandangan laut yang indah di sepanjang pendakian.
Industri kafe dan toko teh yang sudah lama popular di Hong Kong memberi pengembara solo peluang bersantai dan meluangkan masa untuk diri sendiri dalam suasana yang selesa. Dari kafe vegetarian yang ceria ke kedai kopi yang ‘Instagrammable,’ terdapat bermacam pilihan untuk anda! Sebahagian kedai-kedai ini, contohnya seperti Cupping Room di Kowloon Bay, Pacific Coffee di Victoria Peak, dan Solo Balcony di Tai-O turut menyajikan pemandangan alam semula jadi yang mempesonakan tatkala anda menghirup kopi kegemaran anda.
Jangan lupa luangkan sedikit masa untuk mencuba teh-teh tradisional Hong Kong.Saya cadangkan anda berkunjung ke MingCha Tea House di Lee Chung Street yang mengalu-alukan anda dengan pengalaman menge-teh yang unik. Di sini, anda berpeluang mengunyah daun teh kering sebelum menghidu aromanya yang menyegarkan dan menghirup sup teh yang lazat. Oh, dan pastikan anda sertai aktiviti memadankan teh yang mereka jalankan. Antara padanan menarik yang anda perlu cuba: menghirup teh Cina dengan coklat putih dan coklat gelap!
Kami ada berita gembira untuk semua ‘foodie’ yang mengimpikan pengalaman gastronomik terbaik di negeri ini: ada bermacam cara untuk anda cuba hidangan Hong Kong secara solo! Semasa di sana, saya berpeluang menikmati dim sum Cina asli dan hidangan tempatan yang lain di Islamic Centre Canteen (Masjid Ammar). Daripada memesan dim sum dalam kuantiti yang banyak, saya pilih untuk memesan hidangan yang berbeza dan setiapnya dalam kuantiti yang sedikit. Dengan cara ini, anda takkan terlepas hidangan khas serta menu popular mereka!
Untuk anda yang mahu mencuba hidangan Hong Kong tanpa perlu berhabis terlalu banyak wang, jangan risau, kerana kedai makan kegemaran masyarakat tempatan HK memang sesuai untuk pengembara solo dan kebanyakannya menawarkan harga yang berpatutan. Anda boleh cuba cari dai pai dong (gerai terbuka) atau cha chaan teng (tempat makan stail HK) yang menyajikan set hidangan makanan lokal yang asli.
Cara lain yang lebih menyeronokkan untuk pengembara solo seperti anda anda merasa makanan asli Hong Kong adalah dengan menyertai kelas memasak! Anda boleh cuba kelas memasak yang dianjurkan oleh Bake Your Own yang memberi anda peluang membuat tart telur Hong Kong anda sendiri. Best kan?
Fakta menarik: Berkongsi meja (dap toi) ialah perkara yang biasa dilakukan di kedai-kedai makan Hong Kong yang penuh dengan pelanggan. Jadi, jangan pelik jika anda diminta oleh tuan kedai untuk berkongsi meja dengan pelanggan lain.
Pengembara solo yang datang ke Hong Kong wajib pergi ke Ladies’ Market di Mong Kok. Bukan saja pasar ini senang diakses dengan MTR, malahan ianya dikelilingi kedai-kedai makan yang popular!
Ber-shopping di Ladies’ Market merupakan antara pengalaman paling menarik yang pernah saya alami sewaktu di Hong Kong. Saya bukanlah orang yang pandai tawar-menawar, tetapi melihat semua orang melakukan benda yang sama, membuatkan saya mahu mencuba bakat terpendam saya di sini. Triknya: teruskan menawar sehingga anda dapat separuh harga yang ditawarkan buat kali pertama. Tak dapat? Anda boleh cuba berpura-pura ke kedai lain; saya jamin 99% yang tuan kedai tadi akan panggil anda semula!
Tip lain yang saya belajar: elakkan membeli barang-barang dari kedai pertama yang anda jumpa. Anda akan dapati ada kedai-kedai lain yang menjual produk yang seakan sama dengan harga yang lebih murah. Gerai-gerai di ruang masuk pasar selalunya menjual dengan harga lebih tinggi berbanding gerai-gerai yang berada lebih dalam.
Selain lokasi ni, pengembara solo seperti anda juga boleh berkunjung ke Temple Street Night Market, Stanley Market, Li Yuen Street East and West (Fashion), Jardine’s Crescent Street Market, dan Fa Yuen “Sneaker” Street.
Apa cara yang lebih baik untuk anda ‘level up’ pengembaraan solo anda di Hong Kong selain melawat tempat-tempat menarik yang percuma di sini? Lokasi yang tidak mengenakan caj ini adalah tempat yang patut dikunjungi pengembara solo yang datang ke Hong Kong dengan bajet yang sederhana/kecil.
Anda boleh merebut peluang ini dengan mudah apabila anda berkunjung ke lokasi persiaran Avenue of Stars, yang dibina untuk meraikan dan menghargai jasa bintang-bintang seni Hong Kong. Jangan lepaskan peluang bergambar dengan patung gangsa Stephen Chow dan Anita Mui semasa berada di sana! Tempat-tempat persiaran lain yang boleh anda lawati secara percuma termasuklah Waterfront Promenade & Wan Chai Pier Playground dan East Coast Park Precinct Promenade.
Selain itu, anda juga boleh bertandang ke Kowloon Walled City Park, lokasi terbaik untuk merehatkan minda daripada kesibukan bandar. Laman bersejarah ini terdiri daripada kolam-kolam dan taman indah serta barang peninggalan yang berharga. Sementara di sana, pastikan anda luangkan masa di Yamen, satu-satunya bangunan peninggalan Walled City yang masih kekal hingga ke hari ini.
Adakah anda seorang yang tidur lewat dan mahu mendapatkan pengalaman berharga di metropolis ini? Jangan risau, kerana kota Hong Kong takkan tidur selagi anda belum beradu. Anda boleh pergi ke Lan Kwai Fong jika jiwa anda terasa ingin berparti kerana terdapat sekitar 90 bar yang beroperasi setiap malam.
Sekiranya anda mahu ke bar yang mesra pelancong solo, anda boleh cuba pergi ke The Old Man di Soho dan Blue Supreme di Sheung Wan. Untuk pengembara solo wanita pula, anda boleh ke Scarlett Cafe & Wine Bar di Tsim Sha Tsui atau Oolaa Restaurant and bar di Central. Kedua-dua tempat ini menyediakan minuman percuma untuk pelanggan wanita, masing-masing pada hari Khamis dan Rabu.
Nikmati pengalaman malam hari di Hong Kong yang lebih tenang dengan memerhatikan pemandangan ikonik kota yang bergemerlapan, contohnya seperti Hong Kong Observatory Wheel yang dilimpahi lampu neon merah jambu. Untuk pengalaman terbaik, saya sarankan anda menyertai Big Bus Night Tour yang akan membawa anda bersiar-siar di sekitar bandar Kowloon. Setelah itu, anda boleh pergi ke Victoria Harbour dan menyaksikan pertunjukan cahaya Symphony of Lights yang gilang-gemilang.
Hong Kong bukan hanya sekadar bandar metropolitan yang dipenuhi pusat beli-belah glamour. Sebenarnya, terdapat pelbagai lagi permata tersembunyi, terutamanya bila kita bercakap tentang budaya tempatan mereka yang dijaga dengan rapi. Salah satu pengalaman kebudayaan yang paling saya ingat adalah sewaktu melawat perkampungan nelayan Aberdeen.
Saya cadangkan anda ambil pakej lawatan sampan Seayou.hk untuk pengalaman terbaik. Anda boleh dapatkan pakej seperti saya: lawatan satu jam yang berharga HKD 186.64 (MYR 109.20). Salah satu perhentian menarik pakej ini termasuklah sebuah muzium bot yang mempamerkan pelbagai artifak dan foto-foto yang bercerita tentang kehidupan komuniti nelayan di perkampungan Aberdeen. Psst, anda juga akan dihidangkan semangkuk mee tradisional sewaktu berada di muzium!
Satu lagi pengalaman kebudayaan menarik yang saya alami adalah ketika mendaki Ten Thousand Buddha Monastery. Terletak di kaki bukit pinggir bandar Hong Kong, biara ini mempunyai lebih 400 anak tangga yang dihiasi patung-patung Buddha dengan pelbagai gaya dan ekspresi. Di puncak pendakian pula terdapat dewan utama yang memuatkan lebih 12,000 patung Buddha yang diperbuat daripada emas.
Sekilas pandang terhadap kesibukan bandar dan kemegahan pencakar langit di wilayah ini, setiap jurugambar berpengalaman pasti bersetuju bahawa Hong Kong merupakan syurga fotografi jalanan. Salah satu wajah Hong Kong yang selalu mencuri tumpuan jurugambar ialah jalan-jalannya yang dihiasi lampu neon. Contohnya seperti di Yau Ma Tei dan Sham Shui Po. Pertembungan antara yang lama dan baharu memang mengasyikkan.
Jika anda sudah puas ber-selfie, anda boleh mendapatkan selfie stick di salah satu pasar malam yang saya sebutkan tadi. Atau anda boleh juga membeli tripod dengan harga berpatutan di Sham Shui Po yang dikenali sebagai tempat menjual barang elektronik yang murah. Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa tripod dan selfie stick tidak dibenarkan di sesetengah lokasi, misalnya tempat-tempat ibadah dan kawasan yang sesak.
Berita baik untuk anda! Hong Kong Tourism Board kini memberikan baucar cenderahati sebagai hadiah selamat datang untuk penduduk luar Hong Kong yang berkunjung sehingga 90 hari maksimum. Anda boleh dapatkan baucar ini daripada salah satu Hong Kong Tourism Board Visitor Centre/Redemption Centre ini: Hong Kong International Airport Visitor Centre, Kowloon Redemption Centre, atau Hong Kong West Kowloon Station Visitor Centre. Setelah mendapatkannya, anda boleh tebus baucar ini di mana-mana perniagaan berdaftar yang tersenarai dan bersedialah untuk kejutan paling syok sepanjang pengembaraan anda di sini!
Baca juga: Eat, Pray, Love: 6 Destinasi di Hong Kong yang Wajib Dikunjungi Muslim
Sampai sini sahaja perkongsian saya buat kali ini. Harapnya anda dapat pelajari satu atau dua (atau lebih) perkara baharu daripada artikel pengembaraan solo saya ini. Sekarang, apa yang tinggal untuk anda lakukan adalah tempah tiket penerbangan segera dan rasai sendiri kemanisan berkelana di Hong Kong!
Dibawakan khas oleh Hong Kong Tourism Board.
Published on
Check out all the city’s must-visit attractions and must-try foods!
Pengembaraan tiga hari terindah di Hong Kong bermula di sini!
到了台湾后,大家是不是都喜欢买凤梨酥,太阳饼?但这些东西其实在国内超市也能买到,所以赶紧淘点其他东西吧。看看以下这些纪念品,这样才足够独特啊!
Here's to uncover the lesser known Australia.
Time to embark on an epic road trip in Australia!
美味的沙巴之旅,我来啦~
Don't let these misconceptions cloud your judgment!
说走就走的中国行!
Check out all the city’s must-visit attractions and must-try foods!
赏心悦目的 KL 度假屋!