Check out all the city’s must-visit attractions and must-try foods!
Tak pernah terlintas di fikiran bahawa saya akan pergi melancong ke luar negara buat pertama kalinya pada tahun 2023. Cuba teka saya terbang ke mana? Hong Kong! Memetik lirik lagu Hilary Duff, ‘This is what dreams are made of.’ Betul tu. Mimpi memang tercipta daripada perkara yang tak dijangka walau membuatkan kita sedikit gementar. Apa-apa pun, jom ikuti pengembaraan saya ke Hong Kong selama 5H4M yang penuh dengan warna-warni.
Fakta menarik: Hong Kong secara literalnya bermaksud “pelabuhan yang harum”!
Baca juga: Panduan Pengembaraan Solo: 16 Tips Anda Perlu Tahu Sebelum Melancong ke Hong Kong
Berlepas dengan penerbangan Cathay Pacific Airways merupakan pengalaman baru buat saya. Empat jam di langit malam ditemani hidangan halal yang enak? Yes, please!
Akhirnya pesawat mendarat sekitar pukul sembilan malam (waktu Hong Kong). Rasa macam tak percaya waktu pertama kali saya jejakkan kaki ke bumi asing! Setelah mengambil bagasi, kami dibawa menaiki bas (sekitar setengah jam perjalanan) menuju ke tempat penginapan yang bakal menjadi home away from home kami buat beberapa hari akan datang: InterContinental Grand Stanford Hotel, menghadap Kowloon Bay dan Kepulauan Hong Kong. Bilik persendirian yang disediakan sangat luas dan selesa. Pihak hotel turut mengalu-alukan kedatangan kami dengan hidangan menu halal yang dihantar ke bilik, dan disediakan khas untuk tetamu-tetamu Muslim.
Ya, saya faham. Anda baru sahaja sampai di negara orang dan perlu maklumkan pada keluarga yang anda telah mendarat dengan selamat. Oleh itu, saya sarankan anda dapatkan kad sim Hong Kong di salah satu kedai yang terdapat di Hong Kong International Airport (HKIA) ini: kedai 1O1O (CSL Mobile), 7-Eleven, kedai China Mobile Hong Kong, ataupun di kaunter penukaran matawang Travelex. Harga sekeping kad sim bergantung kepada jenis pas internet yang anda pilih. Kad sim yang saya beli berharga HKD88 (~RM50.89) dilengkapi dengan pas 4G bersaiz 3GB, untuk lima hari.
Pengembaraan hari pertama kami dimulakan dengan melawat Central and Western District Promenade. Sesampainya di destinasi, pandangan saya terus tertumpu pada Hong Kong Observation Wheel, roda ferris berketinggian 60 meter, yang terletak berhadapan dengan Central Harbourfront. Kami kemudiannya bersiar-siar menelusuri laluan pejalan kaki di sepanjang pelabuhan yang begitu indah.
Tak lama kemudian, kami disambut oleh lanskap ikonik kota metropolis ini: Double Ducks — yang kembali ke Hong Kong setelah 10 tahun menghilang! Untuk pengetahuan anda, kedua-dua itik ini diletak bersebelahan secara simetri agar menyerupai karakter bahasa Cina bagi perkataan ‘kegembiraan’ (囍) dan ‘persahabatan’ (朋). Sebelum saya terlupa, pameran ini telah pun selesai sewaktu artikel ini ditulis, tetapi anda perlu saksikan dua itik comel ini jika mereka kembali ke Hong Kong semula!
Setelah mengambil angin di sini, kami teruskan perjalanan ke Central Market yang wajib dikunjungi. Perjalanan kami mengambil masa sekitar lapan minit (dari roda ferris tadi) untuk sampai ke lokasi ini. Central Market ini terletak di Queen’s Road dan merupakan salah satu pasar basah tertua di Hong Kong. Bangunan tiga tingkat pasar ini terdiri daripada pelbagai kedai menjual cenderamata, snek dan makanan lokal, serta pameran fesyen dan seni.
Jika anda berhasrat untuk mengunjungi tempat ini, saya cadangkan anda mengambil gambar di bawah susunan lampu merah ikonik (lampu tukang daging) yang terdapat di pintu masuk pasar ini. Oh, dan jangan lupa singgah ke HK Tram Store di tingkat dua. Kedai ini menjual cenderamata dan poskad bertemakan trem Hong Kong yang boleh dijadikan oleh-oleh unik buat keluarga di rumah.
Pengembaraan kami diteruskan dengan menaiki eskalator berbumbung terpanjang di dunia: Hong Kong’s Central–Mid-Levels escalator and walkway! Salah satu pengalaman yang takkan kami lupakan. Bukan itu sahaja, kami juga berpeluang menyaksikan warga tempatan menjalani hari-hari mereka tatkala menaiki eskalator terbuka yang bergerak perlahan ini.
Lokasi seterusnya adalah Jashan Indian Cuisine, di mana kami dihidangkan masakan India yang enak untuk makan tengah hari. Adakah makanan di sini ini halal? Ya, restoran ini dijamin halal, jadi anda tak perlu susah-susah membaca menu dengan teliti.
Setelah makan, kami berkunjung pula ke Jamia Mosque, masjid tertua di Hong Kong, untuk mendirikan solat Zohor. Masjid berwarna hijau yang terletak di Shelley Street di Central Mid-Levels ini juga dikenali sebagai Lascar Temple dan terletak berdekatan dengan MTR Central Station. Anda akan disambut dengan pintu gerbang berbentuk arca yang cantik di tepi jalan dan perlu menaiki tangga yang membawa anda ke bangunan masjid ini.
Setelah menunaikan kewajipan, tiba masanya untuk bersuka ria di tempat terceria di bumi — Hong Kong Disneyland! Castle of Magical Dreams telah menjalani perubahan yang besar dan kini menampilkan 13 menara, yang setiap satu darinya mewakili para puteri dan permaisuri Disney yang berbeza.
Kami sangat bertuah kerana berpeluang menyaksikan pertunjukan musikal berdurasi 20 minit, “Follow Your Dreams,” yang menampilkan Mickey Mouse dan kawan-kawannya. Sebelum kami terus bergembira, kami singgah sebentar di Quiet Room yang terletak di belakang Toy Story Land untuk solat Asar. Ruang ibadah ini dibina khas untuk mereka yang mahu mengerjakan sembahyang/meditasi tak kira agama mahupun bangsa. Terdapat juga dua tempat wudhu’ yang disediakan di tepi pintu masuk bilik ini.
Apa nak buat bila perut mula berkeroncong di Hong Kong Disneyland? Anda boleh berkunjung ke Tahitian Terrace, restoran halal yang menyediakan masakan Asia dan hidangan berasaskan tumbuhan. Cubalah, anda pasti takkan kecewa!
Kemudian, kami berpeluang menyaksikan acara malam gilang-gemilang yang ditunggu-tunggu: “Momentous.” Pertunjukan bunga api di acara ini memang meriah dan sungguh menakjubkan! Lihat sahaja foto-foto di bawah:
Kami mulakan hari kedua kami dengan menyertai pengembaraan seni di Central, Hong Kong. Pencarian seni jalanan ini diketuai oleh wakil dari HKWALLS, sebuah organisasi seni bukan untung di Hong Kong. Walaupun wilayah ini dikenali dengan bangunan pencakar langit nan megah, namun masih terdapat rentetan adiwarna seni di celah-celah kemajuan kota, sebuah penghormatan dan sokongan daripada Hong Kong buat artis-artis lokal dan antarabangsa.
Setelah menelusuri perjalanan penuh karya seni, kami menaiki bas ke destinasi seterusnya: Masjid Ammar and Osman Ramju Sadick Islamic Centre. Masjid yang juga dikenali sebagai Wan Chai Mosque ini merupakan masjid yang ketiga dibina di Hong Kong. Bangunannya dihiasi interior yang mengagumkan dan dilengkapi dengan ruang solat yang selesa. Psst, bidet juga disediakan di dalam tandas!
Tempat yang menjadi tumpuan ramai terletak di tingkat lima bangunan ini — Islamic Centre Canteen. Bukan sahaja dijamin halal, malahan kantin ini merupakan satu-satunya tempat makan yang menyediakan dim sum halal di Hong Kong! Semua hidangan yang disediakan di sini lazat rasanya dan lebih daripada memuaskan selera.
Destinasi berikutnya: Cathay retail shop di Cityplaza Mall, gedung pertama syarikat penerbangan ini yang menjual barangan eksklusif Cathay. Jika anda tunjukkan pas menaiki pesawat sama ada digital atau fizikal (dalam tempoh masa sebulan sejak ketibaan) di kaunter mereka, anda boleh nikmati diskaun 5% untuk semua pembelian produk eksklusif Cathay. Saya syorkan semua peminat kapal terbang untuk singgah ke sini kerana terdapat pelbagai koleksi kapal terbang miniatur Cathay Pacific yang boleh anda pilih.
Setelah puas ber-shopping cenderahati, kami teruskan perjalanan ke Arte M yang diwarnai dengan karya seni media. Pameran di sini menampilkan karya-karya terpilih daripada d’strict ARTE MUSEUM dari Korea. Pameran yang berlangsung ketika ini bertemakan tafsiran semula alam semulajadi melangkaui ruang dan masa. Saya paling sukakan pameran Aurora Beach yang menakjubkan. Gambar-gambar di bawah akan beritahu anda mengapa!
Sebelum kembali ke hotel, kami terlebih dahulu menjamu selera di JAJA, sebuah restoran vegetarian yang sangat Instagrammable. Kedai makan bertema merah jambu ini menyajikan makanan vegetarian yang lazat serta hiasan dalaman yang mempesonakan — sesuai untuk bergambar!
Perjalanan ke Hong Kong takkan lengkap tanpa melawat Ocean Park yang terkenal. Kami berpeluang beramah mesra dan bergambar dengan Whiskers, maskot comel taman tema ini, sebelum menaiki kereta kabel yang membawa kami ke atas puncak dan kembali semula ke sini. ‘Hair Raiser’ dan ‘Arctic Blast’ adalah antara ride yang anda wajib cuba di sini. Rekomendasi lain termasuklah ‘Rapids’, ‘North Pole Encounter’, dan tak dilupakan juga booth permainan yang menyeronokkan!
Setelah puas berseronok, kami sempat melawat ruang solat yang disediakan khas untuk pelancong Muslim. Bilik ini terletak bersebelahan dengan ofis ‘Guest Relations’ berdekatan pintu masuk utama Ocean Park. Untuk pengetahuan anda, ruangan ini boleh memuatkan tiga orang pelancong dengan selesa dalam satu masa.
Untuk makan tengah hari, saya dapatkan bihun Yunnan dengan daging rebus, semangkuk salad, dan segelas air Fanta, semuanya di kiosk makanan terbesar Ocean Park – Clown Corner. Terdapat juga restoran-restoran halal lain yang boleh anda bookmark siap-siap. Antaranya termasuklah Café Ocean, Dive Into A Float (Marine World), Panda Café Food To Go (Amazing Asian Animals) and Popcorn Cart (Aqua City).
Destinasi berikutnya dalam itinerary kami ialah Masjid Kowloon di Tsim Sha Tsui. Masjid ini merupakan masjid terbesar di negeri ini dan boleh memuatkan sehingga 3,500 jemaah! Masjid berwarna putih ini mempunyai tiga dewan sembahyang, sebuah dewan komuniti, dan sebuah perpustakaan. Hasil seni bina Islam di sini sangatlah indah dipandang mata. Saya sangat mengagumi dinding marmar putih dengan karpet berwarna maroon serta hiasan sofistikated pada siling masjid ini.
Tak jauh dari masjid ini terletaknya kedai pastri halal yang paling digemari di Hong Kong – Imperial Patisserie. Antara produk laris mereka termasuklah palmier Michelin dengan sembilan perisa, biskut rangup, egg roll madu, kuih bulan serta Tonggwoji.
Sebelum saya terlupa, sama seperti menu-menu halal yang saya senaraikan di atas, produk pastri yang dijual disini disahkan halal oleh The Incorporated Trustees of The Islamic Community Fund of Hong Kong.
Pengembaraan kami diteruskan di Harbour City, syurga beli-belah di Hong Kong. Tapi, sebelum itu, kami singgah sebentar di Ocean Terminal’s Observatory Deck yang memaparkan lanskap panorama 270 darjah Victoria Harbour. Masih ingat Double Ducks dan Hong Kong Observatory Wheel? Anda juga boleh nampak kedua-duanya dari dek ini!
Berbalik kepada cerita shopping kita, Harbour City merangkumi 450 kedai berjenama yang menyambut anda dengan pengalaman beli-belah yang tiada bandingan. Anda boleh perhatikan aneka kedai fesyen terkenal di sini, contohnya seperti Gucci, Prada, Dior, Ferragamo dan banyak lagi.
Untuk mengakhiri hari ketiga kami di Hong Kong, kami singgah makan malam di Gaylord Indian Restaurant, satu lagi restoran yang disahkan halal dan wajib anda kunjungi. Bukan itu sahaja, bahkan kedai ini turut mendapat rekomendasi Michelin Guide kerana menghidangkan masakan tradisional India selama 50 tahun sejak dibuka.
Pada hari keempat, kami menjalani satu lagi pengembaraan seni di M+ Museum di West Kowloon Cultural District. Muzium yang menampilkan seni visual, hasil reka cipta serta imej bergerak yang dipamerkan di dalam 33 galeri ini turut memperlihatkan koleksi visual budaya Asia dari abad ke 20-21. Pameran kesukaan saya tak lain tak bukan “Death of Nerve” dan “Dots Obsession – Aspiring to Heaven’s Love.”
Setelah itu, kami bergerak menuju Cupping Room, sebuah kedai kopi pakar roastery (yang pernah memenangi anugerah) untuk sarapan tengah hari. Saya begitu teruja dengan ambien kafe ini yang begitu elegan dan moden, terutamanya apabila melihat meja kaca lutsinar yang memperlihatkan peralatan memasak tradisional di bawahnya. Roti bakar dengan krim avokado dan cendawan yang disediakan sangatlah menyelerakan dan kopi ‘Dirty’ mereka pula memang ‘ummph.’
Cathay Pacific Halal Kitchen yang terdapat di dalam bangunan Cathay Pacific Catering and Services merupakan salah satu destinasi utama kami pada hari keempat. Kami didedahkan dengan cara-cara hidangan halal dalam penerbangan disediakan. Apa yang paling saya kagum, krew dapur mengasingkan alatan memasak (pisau, landas cincang, dsb.) dan peti simpanan daging khas untuk makanan halal dan tidak boleh dicampur dengan sebarang bahan-bahan yang tidak halal.
Chef yang bertugas kemudiannya membawa kami ke Halal Kitchen di mana kami berpeluang menyaksikan proses penyediaan makanan secara langsung. Saya tabik kepada semua krew dapur yang meletakkan kebersihan sebagai prioriti mereka sepanjang proses memasak.
Sebelum sesi merasa makanan bermula, kami terlebih dahulu diperkenalkan kepada hidangan halal penerbangan yang disediakan untuk penumpang kelas Ekonomi, kelas Premium Ekonomi dan kelas Bisnes. Ya, kami dapat merasa kesemuanya! Ulasan jujur saya: semua hidangan yang disajikan memang enak, tapi lagi best kalau mangkuk yang digunakan lebih besar.
Info menarik yang saya peroleh daripada sesi ini: semua hidangan dalam penerbangan dari Indonesia, Bangladesh, Malaysia dan Timur Tengah disediakan mengikut tatacara halal. Bagaimana pula dengan destinasi-destinasi lain? Anda boleh membuat permohonan atas talian melalui halaman Manage Booking Cathay atau hubungi ofis tempahan tempatan mereka sekurang-kurangnya 24 jam sebelum penerbangan.
Selepas sesi makan hingga menjilat sudu di Halal Kitchen, tiba masanya untuk satu lagi pusingan beli-belah di Ladies’ Market yang popular di Hong Kong! Pasar ini beroperasi di sepanjang Tung Choi Street di Mong Kok dan dipenuhi gerai-gerai menjual barangan Hong Kong yang sesuai dijadikan oleh-oleh. Tip paling utama untuk ber-’shopping’ di sini adalah skil tawar-menawar yang ampuh! Apa-apa sahaja harga yang ditawarkan penjual buat kali pertama, pastikan anda cuba sedaya upaya dapatkan separuh harga yang ditawarkan. Jika mereka menolak, anda boleh cuba berlakon pergi ke kedai lain. Mereka pasti panggil anda semula.
Jam sudah hampir 8 malam apabila kami dapat mengisi perut dengan hidangan enak di restoran berkonsep ayam Piri-Piri pedas pertama di Hong Kong — Flaming Frango! Restoran halal ini terletak di Elgin Street di Central, Hong Kong. Kami dihidangkan dengan menu laris mereka: Ayam Piri-Piri, Kepak Ayam Piri-Piri dan Burger Ayam Flaming Frango yang didatangkan dengan kentang goreng Piri-Piri dan Coleslaw. Rasanya? Sumpah sedap!
Ini adalah hari terakhir saya di Hong Kong. Selepas sarapan di hotel, saya menaiki teksi ke Hong Kong International Airport (Terminal 1). Perjalanan dari InterContinental Grand Stanford Hotel mengambil masa sekitar 30 minit dan tambang yang perlu dibayar adalah sekitar HKD270 (~MYR156.62).
Alternatif lain untuk anda pergi ke lapangan terbang adalah dengan menaiki MTR Airport Express: salah satu sistem kereta api tercanggih di dunia. Kereta api ini sangat laju dan selesa. Servis ini membolehkan anda sampai ke lapangan terbang dari Central dalam masa 24 minit.
Terdapat pelbagai kedai makan yang anda boleh singgah untuk mengisi masa terluang di lapangan terbang. Antara kedai makan yang dijamin halal termasuklah Old Town White Coffee dan Popeyes Louisiana Kitchen. Gordon Ramsay Plane Food to Go, Burger King, BLESS, dan Bari-Uma & SinsaEat Korean Kitchen pula merupakan antara kedai makan yang menarik perhatian ramai. Untuk anda yang baru tersedar bahawa anda belum membelikan apa-apa untuk insan tercinta di rumah, jangan risau, anda masih boleh dapatkan cenderahati berkualiti di HKIA!
Sebelum penerbangan, saya mendirikan solat Zohor di Prayer Room berdekatan Pintu 42 di Terminal 1. Bilik ini sangat kemas, bersih dan dilengkapi dengan kemudahan dan perabot asas untuk kegunaan ramai. Selain itu, anda akan temukan ruang mengambil wuduk serta arah qiblat sebaik sahaja anda masuk ke bilik ini. Walaupun ini adalah bilik sembahyang uniseks, ruang yang disediakan cukup luas untuk digunakan semua pengunjung dengan selesa.
Cathay Pacific Airways menyediakan hidangan terbaik semasa penerbangan – nasi lemak dengan rendang ayam! Memang menu yang tepat untuk menyambut kepulangan saya ke tanah air. Tiada foto hidangan untuk ditunjuk kerana makanan saya sudah tinggal separuh sewaktu saya sedar saya masih belum mengambil gambarnya (dan saya masih menyesal hingga ke hari ini). Terbuktilah betapa enaknya masakan tersebut!
Baca juga: Panduan Melancong Untuk Muslim: 72 Jam di Hong Kong
Secara keseluruhannya, pengembaraan selama 5H4M ini merupakan pengalaman yang takkan dapat saya lupakan. Tak sabar untuk kembali ke Hong Kong buat kali kedua, tetapi kali ni saya mahu bawa kawan-kawan baik saya bersama! Lagi seronok kalau berjalan dengan mereka yang gila-gila dan sukakan cabaran. Harapnya saya boleh ke sana sewaktu musim bunga atau musim luruh pula.
Setinggi-tinggi penghargaan buat Cathay Pacific dan Hong Kong Tourism Board kerana sudi mengundang saya dalam pengembaraan sekali seumur hidup ini! Semua gambar adalah hak milik Izzati Haron.
Published on
Check out all the city’s must-visit attractions and must-try foods!
Pengembaraan tiga hari terindah di Hong Kong bermula di sini!
到了台湾后,大家是不是都喜欢买凤梨酥,太阳饼?但这些东西其实在国内超市也能买到,所以赶紧淘点其他东西吧。看看以下这些纪念品,这样才足够独特啊!
Here's to uncover the lesser known Australia.
Time to embark on an epic road trip in Australia!
马来西亚人表示光荣!
给打算自驾游到泰国游玩的你!
美味的沙巴之旅,我来啦~
Don't let these misconceptions cloud your judgment!
说走就走的中国行!